Punca Kultus Agama
Pengkultusan agama tidak berlaku secara tiba-tiba melainkan ia adalah sebuah proses yang panjang untuk menanamkan benih-benih ketaksuban ke dalam diri masyarakat. Dan fenomena ini terus berkembang melalui gabungan beberapa faktor seperti sosial, psikologi, dan agama yang mudah untuk mempengaruhi pengikutnya. Berikut adalah lima faktor yang menjadi pemicu kepada pengkultusan agama dalam kalangan masyarakat:
1. Pemimpin berkarisma Pemimpin seperti ini sering dianggap ‘istimewa’ atau memiliki kuasa luar biasa, menjadikan pengikut terlalu bergantung kepada mereka. Pemimpin yang memiliki karisma sering menggunakan sifat tersebut untuk membentuk kultus pemujaan di sekeliling mereka, dengan mendakwa mereka memiliki kelebihan spiritual atau pengetahuan rahsia.
2. Kurang ilmu dan fahaman agama Ramai pengikut kultus datang dari latar belakang yang kurang mendalami ajaran agama sebenar. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka mudah menerima ajaran yang menyimpang tanpa mempertikaikannya. Individu yang kurang memahami prinsip tauhid dan ajaran Islam sebenar mudah terpengaruh dengan pemimpin yang menonjolkan diri sebagai istimewa atau pilihanTuhan.
3. Tekanan hidup Situasi ketidakstabilan ekonomi, sosial, atau politik menjadikan individu mudah terdedah kepada pengaruh kultus. Jim Jones, misalnya, menawarkan komuniti yang ‘selamat’ dan ‘adil’ kepada pengikutnya yang terdesak mencari kestabilan hidup.
4. Manipulasi emosi dan ketakutan Pengikut sering dipaksa percaya bahawa meninggalkan kumpulan akan membawa kepada kecelakaan atau kemusnahan. Pemimpin kultus sering menggunakan manipulasi emosi, ancaman, atau janji-janji palsu untuk memastikan ketaatan mutlak pengikut
5. Pengasingan komuniti Pengasingan pengikut daripada dunia luar adalah strategi utama untuk memastikan mereka terus bergantung kepada kultus. Pengikut dilarang berinteraksi dengan individuluar atau menerima maklumat alternatif yang boleh mencabar pemikiran mereka.