Di dalam kerangka perbincangan Al-Quran dan Sunnah, keberkatan itu terletak pada beberapa perkara. Pertama, keberkatan pada tubuh seseorang, seperti yang kita lihat pada Baginda Nabi SAW. Para sahabat RA mengambil berkat daripada air liur dan peluh Baginda SAW, dan perbuatan ini dibenarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam pelbagai hadis. Sebagai contoh, Ummu Sulaim RA pernah menyapu peluh Baginda SAW dan menyimpannya. Daripada Ummu Sulaim RA
– كَانَ يَأْتِيهَا فَيَقِيلُ عِنْدَهَا فَتَبْسُطُ لَهُ نَطْعًا فَيَقِيلُ عَلَيْهِ وَكَانَ كَثِيرَ الْعَرَقِ فَكَانَتْ تَجْمَعُ عَرَقَهُ فَتَجْعَلُهُ فِى الطِّيبِ وَالْقَوَارِيرِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- « يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا ». قَالَتْ عَرَقُكَ أَدُوفُ بِهِ طِيبِى
Maksudnya : “Nabi SAW pernah datang bertemu dengannya. Lalu Baginda tidur pada waktu tengahari di rumahnya. Lalu Ummu Sulaim membentangkan tikar untuk Baginda dan Baginda SAW tidur di atasnya. Pada ketika itu, Nabi SAW berpeluh dengan banyak. Lalu Ummu Sulaim mengumpulkan peluh tersebut dan dia meletakkannya di dalam minyak wangi dan bekas-bekas. Lalu Nabi SAW berkata : Wahai Ummu Sulaim apakah ini. Dia (Ummu Sulaim) menjawab : Ini adalah peluh engkau yang mana aku campurkan dengan minyak wangiku.” Riwayat Muslim (6203)
Begitu juga dengan keberkatan pada doa kedua ibubapa, nabi bersabda
“Tiga doa yang mustajab tanpa keraguan padanya: doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya.” (HR al-Tirmizi no. 1905)
Kedua, keberkatan juga boleh berada pada tempat. Sebagai contoh, fadhilat solat di Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan Masjid Al-Nabawi digandakan sehingga ribuan kali oleh Allah SWT, Nabi bersabda
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ : صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَام
“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram.” (HR al-Bukhari no. 1190, Muslim no. 1394)






