Taubat itu bermaksud kembali daripada apa yang tercela di sisi syarak kepada apa yang terpuji di sisi-Nya. Dalam makna yang lain taubat ialah kembali kepada Allah SWT dan ketaatan kepada-Nya setelah melakukan maksiat atau dosa seperti terjebak dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng atau disebut
sebagai ajaran sesat.
Ia berkait dengan penyesalan dan muhasabah diri sehingga kesilapan yang lalu tidak diulang pada masa akan datang. Di dalam al-Quran, terdapat sejumlah ayat berhubung gesaan kepada manusia agar bertaubat kepada Allah SWT dan mengaitkannya dengan kejayaan di dunia dan akhirat. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim, ayat 8:
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”.
Ibn Kathir berkata: Iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina.









