
Oleh Zuhaimi Abdul Rahim
Pengarah Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia
Pengorbanan dapat diertikan sebagai nilai sejagat yang juga asas kepada kemuliaan seseorang manusia. Dalam setiap perjuangan, sesebuah kejayaan diperoleh melalui pengorbanan, tidak kira sama ada dari segi tenaga, nyawa, harta mahupun masa.
Bagi menjelaskan apa itu maksud kemanusiaan sejagat, ia semua dapat lihat melalui pengorbanan dan keberanian sukarelawan dari seluruh dunia menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF). Satu inisiatif hebat dan berani untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza yang dikepung dan diuji akibat kekejaman Israel mengakibatkan penderitaan tidak henti.
Walaupun misi itu penuh dengan ketidakpastian sama ada akan berjaya untuk menembusi sekatan tentera Zionis ataupun berakhir dengan penahanan, namun itu tidak menjadi alasan untuk sukarelawan berhenti menjayakan misi hendak dilaksanakan, malah mereka lebih teguh untuk teruskan perjuangan.
Di sini dapat dilihat erti sebenar sebuah pengorbanan, yang mana manusia melakukan sesuatu yang besar bukan kerana yakin akan memperoleh kemenangan, namun kerana tahu ia ia perkara benar dan seharusnya dilakukan.
Maksud pengorbanan bukan sekadar perbuatan lahiriah, namun ia juga lambang keikhlasan hati seseorang. Allah SWT berfirman bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebajikan (sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta kamu cintai". (Surah Ali Imran, ayat 92)
Berdasarkan ayat ini, dapat lihat dengan jelas bahawa nilai sesebuah pengorbanan itu dapat diukur daripada kesanggupan seseorang untuk melepaskan apa yang dia sayang demi membantu orang lain.
Bagi membuktikan perkara ini, dapat dilihat melalui semangat sukarelawan GSF dari seluruh dunia, ada yang menjual harta sendiri untuk membiayai perjalanan mereka ke bumi Gaza, meninggalkan ahli keluarga tercinta dan rela berhadapan dengan ujian dan cabaran jalan laut yang jauh untuk tiba ke destinasi demi membawa bantuan perubatan dan makanan kepada warga Gaza. Pejuang dari seluruh negara yang turut serta dalam misi ini tahu risiko akan mereka hadapi seperti kemungkinan akan dipintas, tidak akan pulang dengan selamat, namun mereka tetap teguh teruskan perjuangan kerana di dalam hati mereka tertanam satu keyakinan yang mana nilai kemanusiaan tidak boleh untuk tunduk kepada ketakutan.
Perkataan Sumud bukanlah sekadar nama misi, tapi ia diambil daripada bahasa Arab membawa maksud ketabahan, daya tahan dan juga keteguhan. Sumud mencerminkan perihal semangat mendasari perjuangan saudara kita di Gaza yang sudah lama dirampas hak mereka dan ditindas.
Ketabahan mereka menjadi sumber kekuatan luar biasa, walaupun dunia menutup mata atas setiap kekejaman berlaku, mereka tetap tidak berundur, malah lebih teguh menghantar bantuan ke bumi Gaza.
Misi buka mata seluruh dunia
Daripada misi ini, sukarelawan tanpa sedar menjelmakan roh sumud melalui apa yang mereka tempuhi, meneruskan perjalanan di lautan yang luas dan memakan masa panjang bukan kerana mereka tidak tahu bahaya menanti, tetapi kerana mereka sedar diam bererti menyerah kepada keza- liman Zionis tiada henti.
Salah seorang sukarelawan yang turut serta GSF memperlihatkan kepada seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa bahawa dalam lautan tidak menjanjikan kepastian sekalipun, masih mampu untuk berjuang demi mempertahankan nilai kemanusiaan dalam misi ini berkata: "Kami mungkin tidak mampu memecah sekatan sepenuhnya, tetapi kami mampu memecah bisunya dunia".
Kita boleh fahami ini sebagai pengorbanan hakiki yang mana mereka tidak mengharapkan hasil segera, tetapi menyalakan harapan bagi saudara kita yang ditindas.
Sebuah pengorbanan yang lahir dari hati ikhlas tidak berakhir dengan sia-sia. Walaupun misi GSF mungkin tidak mencapai matlamat ditetapkan sepenuhnya, namun mereka berjaya menyampaikan mesej dan membuka mata seluruh dunia membongkar kekejaman Israel sekali gus membuktikan masih ada manusia berani memperjuangkan keadilan demi kemanusiaan.
Sukarelawan GSF tidak menunggu menjadi kaya atau kuat, tetapi terus bertindak dengan apa yang ada, yang mana kita sendiri dapat lihat ramai golongan wanita turut ikut serta dalam misi itu. Ia menjadi pengajaran bahawa pengorbanan tidak menunggu masa sempurna untuk dilaksanakan, tetapi bermula apabila hati sudah terpaut untuk berkorban kepada sesuatu perkara yang baik.
GSF memperlihatkan kepada seluruh dunia tanpa mengira agama dan bangsa bahawa dalam lautan tidak menjanjikan kepastian sekalipun, masih mampu untuk berjuang demi mempertahankan nilai kemanusiaan.
Keberanian sukarelawan mencuba sudah cukup untuk membuka hati manusia turut peduli dengan apa yang berlaku. Semangat sumud perlu terus menyala dalam diri setiap Muslim, untuk mendorong bersama-sama berbuat kebaikan, walaupun sekecil-kecil perkara dan berjuang walaupun ia sukar.
Pengorbanan bukan sekadar tindakan, tetapi sebuah keyakinan bahawa setiap usaha ikhlas dilakukan ada nilai dan menjadi cahaya di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Siapa membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Siapa memudahkan orang dalam kesusahan maka Allah akan memuda- hkannya di dunia dan akhirat. Siapa menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba-Nya selagi hamba- Nya membantu saudaranya". (HR Muslim)
Tarikh Input: 15/10/2025 | Kemaskini: 15/10/2025 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum