Menurut Zulkifli Hasan (t.t.), ciri-ciri harta tidak patuh syariah adalah seperti berikut:
- Harta yang dihasilkan daripada aktiviti yang jelas bertentangan dengan syarak;
- Harta yang diperselisihkan hukumnya antara halal dengan haram; dan
- Harta yang berlaku percampuran antara yang halal dengan haram dari sudut ‘ain (benda) atau perbuatan.
Contohnya ialah hasil yang diperoleh daripada aktiviti yang haram seperti hasil jualan anggur kepada pembuat arak, hasil upah membawa arak daripada kilang ke pasaraya yang menjual arak serta hasil jualan senjata kepada musuh Islam.
Dalam konteks kewangan, contohnya adalah faedah yang diperolehi hasil deposit di dalam akaun bank konvensional.
Menurut Mohd Sabree & Khairul Azhar (2019), Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) meletakkan kriteria sesebuah sekuriti syarikat diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah sekiranya aktiviti teras syarikat tidak selaras dengan syariah seperti berikut:
- Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
- Perjudian dan pertaruhan;
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
- Insurans konvensional;
- Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
- Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
- Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.









