BELIA adalah golongan yang menjadi tonggak dan penerus generasi dalam sesebuah masyarakat. Perlu diakui, golongan ini mempunyai keupayaan yang luar biasa terutama dari segi tenaga dan daya fikir dalam melakukan pelbagai perkara yang sukar dan mencabar.
Secara umum, belia ditakrifkan sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Justeru, belia atau pemuda hari ini adalah bakal pemimpin pada masa hadapan dan menunggu masa untuk mengisi saf kepimpinan negara pada masa akan datang. Oleh itu, sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan yang penting ini sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Biarpun begitu, kelompok belia atau pemuda secara objektifnya mempunyai idealisme mereka yang tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Oleh yang demikian, mereka perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak kepada mana-mana pihak serta bebas mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.
Tidak dinafikan, belia melalui kekuatan jasmani dan rohani yang dimiliki sentiasa menjadi aset penting kepada negara. Hal ini kerana, generasi muda yang terdiri dari golongan belia yang mantap ilmu dan ketaqwaannya akan turut memiliki kekuatan dari sudut pertimbangan akal, jati diri, integriti dalam melaksanakan tanggungjawab serta berakhlak tinggi.
Sebagaimana kita ketahui, Islam sebagai ad-Din iaitu satu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Ia datang bersama kerangka dasar aqidah (kepercayaan), syariah (undang-undang dan peraturan) dan akhlak (nilai-nilai murni dan budi bahasa), yang kemudiannya datang bersama lima tujuan utama Islam yang dijadikan sandaran kehidupan yang kita sebut sebagai maqasid al-syariah. Salah satu daripadanya ialah Hifz ad-Din iaitu menjaga agama.








