Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah yang sah demi menghalalkan hubungan antara lelaki dengan perempuan hidup bersama sebagai suami isteri dan melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing.
Firman Allah SWT dalam surah Al Nur, ayat 32 yang bermaksud:
“Dan kahwinkanlah orang orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang orang yang soleh dari hamba hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat Nya dan limpah kurnia Nya), lagi Maha Mengetahui.”
Ayat ini menjelaskan galakan untuk berkahwin kerana penting dan indahnya alam perkahwinan itu. Namun keindahan ini adakalanya dicemarkan oleh sikap negatif suami atau isteri. Sebuah perkahwinan yang sah mestilah diiktiraf, bukanlah disembunyikan dengan kata lain, mesti direkod dan didaftarkan mengikut undang undang.
Pada masa kini, masih terdapat pihak pihak yang menyembunyikan status perkahwinan. Mereka menyembunyikan daripada pengetahuan wali, keluarga atau isteri kerana kepentingan tertentu. Terdapat banyak sebab mengapa perkara ini boleh berlaku, seperti berkahwin dengan bukan warganegara yang tidak mempunyai rekod diri yang jelas, berkahwin kerana keterlanjuran pasangan, poligami dan sebagainya.






