Tujuh Cara Untuk Mengamalkan Nilai-Nilai Ramadan Sepanjang Tahun | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» ARTIKEL » Tujuh Cara untuk Mengamalkan Nilai-Nilai Ramadan Sepanjang Tahun

Tujuh Cara untuk Mengamalkan Nilai-Nilai Ramadan Sepanjang Tahun

Ramai orang mengaitkan bulan Ramadan dengan perbuatan menahan lapar dan dahaga dari matahari terbit hinggalah matahari terbenam. Tambahan pula, berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu daripada lima tiang agama Islam dan semua penganut agama Islam mesti berpuasa tanpa mengira usia dengan beberapa pengecualian tertentu sepanjang bulan yang mulia ini.

Walau bagaimanapun, sebagai salah satu bulan penting dalam kalendar Islam, bulan Ramadan bukan sekadar mewajibkan orang Islam untuk menahan lapar dan dahaga selama tempoh tertentu sahaja. Dengan berpuasa, kita digalakkan untuk bermuhasabah diri dan mengukuhkan lagi keimanan kita; bersikap lebih sabar, mendisiplinkan diri dan membuat kebaikan; serta merapatkan lagi tali silaturahim kita sesama manusia.

Untuk melakukannya, kita memasang niat atau nawaitu untuk:

  • Menyempurnakan solat tarawih.

  • Mengaji Al-Quran.

  • Bersedekah, termasuklah membayar Zakat Fitrah.

  • Berzikir dan berdoa.

  • Memohon kemaafan.

  • Belajar bersabar melalui amalan berpuasa.

Pengajaran yang kita pelajari dan nilai-nilai yang diamalkan sepanjang tempoh tiga puluh hari ini adalah untuk mengingatkan dan membimbing kita agar menjaga perlakuan dan iman kita selepas bulan Ramadan berlalu.  Walaupun kita tidak diwajibkan untuk berpuasa dan menyempurnakan solat tarawih sepanjang tahun, tetapi membuat kebaikan, sikap bersabar dan pemaaf, bersedekah serta menunaikan solat lima waktu setiap hari ialah nilai-nilai baik yang patut terus diamalkan sepanjang tahun kerana tabiat-tabiat ini membantu kita memanfaatkan lagi kehidupan seharian kita.

Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengamalkan nilai-nilai bulan Ramadan sepanjang tahun, dan bukan sekadar pada bulan mulia ini sahaja.

Berpuasa untuk detoksifikasi, kesihatan, atau penurunan berat badan
Selain daripada puasa yang disunnahkan pada beberapa hari istimewa dalam kalendar Islam seperti puasa enam (puasa selama enam hari pada bulan Syawal), Hari Ashura, Hari Arafah dan berpuasa pada bulan Syaaban, berpuasa juga mempunyai pelbagai manfaat kesihatan seperti:

 

Nabi Muhammad SAW juga berpuasa sunat setiap bulan.

Daripada menahan diri sepenuhnya daripada makan dan minum sepanjang hari, anda boleh mengamalkan puasa berkala (IF), khususnya jika anda mahu menambah baik tahap kesihatan diri anda. Walaupun terdapat pelbagai teknik puasa berkala yang berbeza, tetapi teknik puasa berkala yang menjadi pilihan ramai ialah tempoh berpuasa selama 16 jam dan tempoh berbuka selama 8 jam. Tempoh berpuasa boleh bertindih dengan waktu tidur juga. Di samping itu, IF juga membenarkan anda untuk minum minuman sifar kalori seperti air, teh atau kopi kosong semasa tempoh berpuasaii.

Amalan IF mudah diikuti khususnya dalam kalangan orang Islam dan IF adalah satu cara yang berkesan untuk mengawal pemakanan anda dan menurunkan berat badan. Jangan makan secara berlebihan semasa tempoh berbuka.

Amalkan ajaran dan nilai-nilai Islam dalam rutin seharian anda
Selepas bulan Ramadan berlalu, kita tidak lagi mengamalkan amalan berkumpul di masjid untuk menyempurnakan solat tarawih berjemaah. Namun, terdapat cara lain untuk kita mengamalkan nilai-nilai dan ajaran agama dalam kehidupan sehari-harian di samping menyempurnakan ibadah harian kita.

  • Menjalankan solat berjemaah bersama keluarga untuk merapatkan lagi hubungan anda dengan ibu bapa dan/atau anak-anak anda. Tinggal bersama rakan serumah? Mendirikan solat berjemaah adalah salah satu cara untuk mengenali diri mereka dengan lebih baik.

  • Meluangkan masa untuk berdoa selepas selesai bersolat dan sebelum tidur pada waktu malam. Terdapat beberapa doa yang anda boleh amalkan sepanjang hari juga. PRUIman di Pulse by Prudential menyediakan kumpulan doa untuk pelbagai tujuan termasuklah doa taubat, doa ketika melawat pesakit, doa perjalanan, doa makan dan banyak lagi.

  • Anda boleh berzikir pada bila-bila masa, sepanjang hari. Cuba berzikir semasa anda terperangkap dalam kesesakan trafik atau semasa bersenam pula.

  • Luangkan masa untuk mengaji Al-Quran setiap hari. Baca tafsiran Al-Quranuntuk memahami kandungan yang dibaca dengan lebih baik.


Semestinya, dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, elakkan daripada menghadiri perhimpunan ramai dan solat berjemaah di masjid. Mendirikan solat berjemaah bersama keluarga amat digalakkan. Jika anda ingin mendirikan solat berjemaah di masjid, pastikan anda sentiasa mematuhi SOP yang disediakan.

Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan
Zakat Fitrah ialah bayaran wajib yang perlu dibayar oleh semua orang Islam semasa bulan Ramadan. Jika anda berkemampuan, bersedekah sepanjang tahun adalah satu cara yang baik untuk membantu golongan yang memerlukan di samping mengumpul pahala.

  • Jangan tunggu sehingga musibah berlaku untuk bersedakah. Sebaliknya, berikan sumbangan kecil setiap bulan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan bantuan.

  • Daripada membuang barangan terpakai seperti pakaian, perabot, buku, barangan elektronik dan sebagainya, sumbangkan barangan tersebut. Jika anda tidak tahu ke mana anda perlu tuju, terdapat banyak kotak pengumpulan kebajikan disediakan di kebanyakan kawasan perumahan di seluruh Malaysia untuk anda meletakkan barangan yang ingin diderma.

  • Cuba membuat kerja sukarela. Ini adalah satu cara yang baik untuk menjalin hubungan dalam komuniti anda dan melihat kehidupan daripada perspektif berbeza.

Orang kata, sedekah bermula dari rumah. Tolong kawan-kawan, ahli keluarga atau jiran jika mereka berada dalam masalah, memberi tip yang tinggi kepada penghantar makanan, atau membeli makanan untuk jiran-jiran mahupun pengawal keselamatan di pangsapuri anda sekali-sekala.

Sabar separuh daripada iman
Lumrah manusia untuk hilang sabar dan naik marah, khususnya semasa kita sibuk dan sesuatu yang tak disangka-sangka berlaku atau kedatangan mengejut seseorang mengganggu jadual kita yang padat. Semasa bulan Ramadan, kita menahan diri kita daripada makan dan minum serta menjaga kelakuan kita. Jadi tiada alasan lagi untuk kita tidak bersikap sabar pada hari-hari biasa juga.

  • Jika sesuatu membuatkan anda marah, tarik nafas dalam-dalam sepuluh kali sebelum memberikan respon. Latihan ringkas ini boleh menenangkan diri dan membantu anda melihat sesuatu situasi atau perkara dari perspektif yang berbeza.

  • Anda perlu tarik nafas lebih daripada sepuluh kali? Bertenang. Anda mungkin mendapat penyelesaiannya dengan mengambil masa untuk bertenang, baik selama sejam mahupun sehari, agar anda dapat memahami kejadian yang berlaku dan punca yang buat anda marah dengan hal itu.

  • Cuba lupakan kemarahan anda. Ada kalanya, ‘kalah’ dalam pertelingkahan atau berkompromi adalah lebih baik berbanding memutuskan suatu perhubungan.

Memohon kemaafan
Selain daripada naik marah, kita membuat kesilapan di tahap peribadi dan rohaniah juga. Daripada menunggu untuk Hari Raya Aidilfitri tiba agar dapat mengucapkan “Maaf Zahir Batin” kepada satu sama lain, kita perlu sentiasa meminta maaf setiap kali kita membuat kesilapan kerana perbuatan meminta maaf ini menghilangkan beban di dalam hati kita dan mengekalkan perhubungan juga.

  • Dapatkan keampunan Yang Maha Esa dengan mendirikan solat dan berdoa.

  • Jika anda membuat kesilapan, minta maaf dan cuba membetulkan kesilapan anda secepat mungkin.

  • Jangan lupa meminta maaf untuk perkara-perkara yang kecil juga, seperti terlanggar bahu seseorang, terlupa menghubungi seseorang atau menyampuk semasa berbual. Perbuatan ini menimbulkan perasaan empati dan membuatkan anda lebih peka.

  • Tidak salah untuk meminta maaf kepada individu yang lebih muda daripada anda, misalnya, anda meminta maaf kerana meninggikan suara kepada anak-anak walaupun mereka melakukan sesuatu yang salah.

Sentiasa berbuat baik
Kebaikan adalah satu sifat manusia penting yang boleh membawa perubahan kepada dunia dan terdapat banyak kebaikan kecil yang kita boleh lakukan setiap hari.

  • Bertanya khabar jiran-jiran dan orang tersayang.

  • Bercakap baik-baik dengan pekerja-pekerja anda. Mereka lebih bersedia untuk membantu seseorang yang melayan mereka dengan baik berbanding seseorang yang mempergunakan kuasa atau menindas mereka.

  • Benarkan orang tua, wanita hamil atau orang kelainan upaya untuk memotong barisan.

  • Memberi makanan kepada haiwan terbiar.

Keindahan dalam kesederhanaan
Kesederhanaan adalah sesuatu yang baik, sama ada dalam pemakanan, bersenam, berbelanja, bekerja, hiburan dan sebagainya.  Kemampuan kita untuk melakukan pelbagai aktiviti semasa bulan Ramadan membuktikan bahawa kita boleh melakukan aktiviti seharian jika kita melakukannya secara bersederhana.

  • Daripada mengikuti diet yang ketat, jadi lebih peka dan bersederhana dalam tabiat pemakanan anda. Selain itu, kurangkan makan makanan yang berat secara berlebihan.

  • Lakukan senaman tempoh pendek secara berkala berbanding memaksa diri melakukan senaman selama beberapa jam sekaligus hingga boleh menyebabkan kecederaan berlaku.

  • Memantau tabiat perbelanjaan anda untuk mengelakkan diri daripada berbelanja secara berlebihan atau berhutang.

  • Pantau waktu bekerja anda dan cuba mencapai keseimbangan kehidupan peribadi dan bekerja yang sihat.

Ramadan bakal meninggalkan kita tetapi marilah kita sama-sama kekal istiqamah dalam mengamalkan nilai-nilai dan tabiat mudah yang dipupuk sepanjang tiga puluh hari ini. Tambahan pula, dengan segala cabaran yang kita hadapi sekarang, perbuatan kebaikan yang kecil dan sikap tolak ansur dapat membuatkan diri kita menjadi lebih positif. Ayuh kita saling membantu dan memanfaatkan kehidupan kita. Moga hari-hari terakhir Ramadan anda lebih tenang dan penuh dengan keberkatan.

Tarikh Input: 02/04/2024 | Kemaskini: 02/04/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEVJAd~