Idul Ghadir atau Perayaan Hari Ghadir merupakan hari kebesaran yang disambut oleh Syiah Imamiyah pada setiap 10 Zulhijah. Hari ini merupakan hari yang dipercayai Syiah Imamiyah bahawa Ali bin Abi Talib RA mendapat lantikan rasmi daripada Rasulullah SAW sebagai pengganti dan pewaris Baginda SAW. Peristiwa ini turut dikenali sebagai peristiwa Ghadir Khum.
Diriwayatkan oleh Al-Saduq bahawa pada 18 Zulhijah tahun 10 Hijrah, Rasulullah SAW ketika itu sedang dalam perjalanan pulang daripada selesai menunaikan haji di Mekah. Sesampainya Baginda SAW ke satu tempat yang bernama Khum, di antara Mekah dan Madinah, Baginda SAW memberhentikan rombongan yang merupakan penduduk Madinah, daripada kalangan Muhajirin dan Ansar. Baginda SAW kemudian berdiri bersama Ali bin Abi Talib RA kemudian mengangkat tangan Ali bin Abi Talib RA, seraya bersabda:
“Sesungguhnya aku mengingatkan kamu kepada dua perkara yang berat, iaitu Al-Quran, dan Ahli Baitku. Sesungguhnya keduanya tidak akan berpisah sehinggalah bertemu denganku di syurga. Siapa yang dahulunya aku adalah mawlanya, maka Ali adalah mawlanya. Ya Allah, walikanlah sesiapa yang mewalikannya, bantulah sesiapa yang membantunya, musuhilah sesiapa yang memusuhinya, rendahkanlah sesiapa yang merendahkannya, dan berikanlah kebenaran kepadanya di mana sahaja dia berada”.
Syiah sangat berpegang dengan riwayat ini, malahan mereka sangat taksud dengan peristiwa ini. Sehingga Al-Qummi di dalam tafsirnya meriwayatkan daripada Al-Saduq, bahawa setelah Baginda SAW mengucapkan ucapan ini, Rasulullah SAW memandang ke arah langit dan berkata:
“Ya Allah, bukankah aku telah sampaikan?”.
Kemudian Jibril AS turun kepada Baginda SAW, menyampaikan ayat 3 daripada surah Al-Maidah, iaitu:
“Pada hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan bagi kamu nikmat-Ku, dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai agama”.
Ayat yang masyhur ini didakwa Al-Qummi bahawa kesempurnaan agama yang disebutkan di dalam ayat, mengisyaratkan kepada pelantikan Ali bin Abi Talib RA sebagai pengganti Rasulullah SAW. Tidak turun ayat ini, hanya setelah Baginda Rasulullah SAW mengumumkan pelantikan Ali bin Abi Talib RA di hadapan seluruh rombongan Baginda SAW.






