
Serdang, 24 Jun 2026 – Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Kemahiran Asas Khidmat Nasihat dan Bimbingan Agama bertempat di Al-Biruni Smart Space, Masjid UPM. Program ini bertujuan memperkukuh keupayaan dan kemahiran staf UPM dalam memberikan khidmat nasihat serta bimbingan agama kepada warga kampus dan masyarakat umum.
Seramai 20 orang peserta daripada kalangan staf UPM telah menyertai bengkel ini yang memberi tumpuan kepada aspek kaunseling dan khidmat nasihat sebagai kemahiran asas penting dalam mendepani pelbagai situasi melibatkan orang awam. Bengkel ini bukan sahaja memperkenalkan teknik asas kaunseling, malah turut menekankan pendekatan empati, komunikasi berkesan dan kefahaman terhadap nilai-nilai Islam dalam proses bimbingan.
Penceramah utama bengkel ialah Prof Madya Dr. Md Noor bin Saper, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga merupakan Fasilitator KSKCare Centre, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau berkongsi pengalaman luas dalam bidang kaunseling Islam serta memberi panduan praktikal kepada peserta untuk diaplikasikan dalam konteks kerja dan perkhidmatan masyarakat.

Turut hadir memeriahkan bengkel ialah Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Puan A’azah binti Awang Kechik yang turut memberikan sokongan dan pandangan terhadap usaha memperkukuh peranan staf dalam bidang khidmat nasihat dan bimbingan agama.
Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan bagi memperkasa kompetensi staf UPM dalam menyampaikan khidmat nasihat yang berlandaskan nilai Islam, sekaligus memperkukuh imej universiti sebagai institusi yang prihatin terhadap pembangunan sahsiah dan kesejahteraan komuniti.
“Melalui bengkel ini, staf bukan sahaja didedahkan kepada teori, tetapi turut berpeluang mengasah kemahiran praktikal dalam memberi bimbingan berkesan kepada masyarakat,” ujar salah seorang peserta yang menyifatkan program ini sebagai sangat bermanfaat dan relevan dengan keperluan semasa.
Tarikh Input: 24/06/2026 | Kemaskini: 24/06/2026 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum