
Serdang, 23 Disember – Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Delegasi seramai sembilan orang, diketuai oleh Ketua Pusat Islam UMT, Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, hadir bersama lapan pegawai bagi menjayakan sesi perkongsian dan jaringan kerjasama.
Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, yang turut memberikan penerangan mengenai fungsi, struktur organisasi serta pelaksanaan program di Pusat Islam UPM. Sesi penerangan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam usaha memperkukuh peranan institusi Islam di universiti.

Selepas sesi penerangan, delegasi dibawa melawat sekitar Masjid UPM, termasuk kemudahan utama yang menjadi pusat aktiviti keagamaan dan kebajikan warga kampus. Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kedua-dua universiti, malah membuka peluang kepada perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan dan pembangunan Pusat Islam.
Lawatan penanda aras ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara UMT dan UPM, khususnya dalam memperkasa peranan Pusat Islam sebagai pusat dakwah, pendidikan dan pembangunan sahsiah warga universiti.
Tarikh Input: 23/12/2025 | Kemaskini: 23/12/2025 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum