Majlis Meraikan Bakal Haji UPM 1447H/2026: Doa Restu Dan Persediaan Rohani | PUSAT ISLAM UNIVERSITI pic
» BERITA » Majlis Meraikan Bakal Haji UPM 1447H/2026: Doa Restu dan Persediaan Rohani

Majlis Meraikan Bakal Haji UPM 1447H/2026: Doa Restu dan Persediaan Rohani

Serdang, 16 April – Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Majlis Meraikan Bakal Haji bagi tahun 1447H/2026 bertempat di Pusat Islam Universiti, UPM. Majlis penuh bermakna ini diadakan sebagai tanda sokongan dan doa restu kepada warga UPM serta peserta Kursus Asas Haji (KAH) Masjid UPM yang bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

      

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, yang menekankan kepentingan persediaan rohani dan mental dalam menghadapi perjalanan haji. Turut hadir bersama ialah Pendaftar UPM, Encik Muhazam Mansor, yang turut memberikan amanat dan nasihat serta doa kepada para jemaah haji sekaligus menyampaikan Kit Haji kepada para jemaah sebagai simbol sokongan institusi terhadap keberangkatan mereka.

Hampir 120 bakal haji hadir, terdiri daripada staf UPM dan peserta KAH 2025-2026/1447H. Majlis turut diserikan dengan Tausiyah Haji oleh Prof. Madya Dr. Hj Ahmad Nasir Mohd Yusoff, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM, yang memberikan panduan serta nasihat berharga mengenai persiapan ibadah haji, termasuk aspek kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan dalam menunaikan rukun Islam kelima.

Sebagai tanda kebersamaan, wakil peserta KAH, Wan Zaharuddin bin Wan Abdullah, staf UPM, turut menyampaikan ucapan penuh semangat dan doa agar semua bakal haji dipermudahkan urusan sepanjang perjalanan ke Tanah Suci. Kata-kata beliau mencerminkan harapan agar jemaah pulang dengan haji yang mabrur serta membawa keberkatan kepada keluarga dan ummah.

Majlis diakhiri dengan jamuan mesra yang memperkukuh ukhuwah antara warga UPM dan masyarakat setempat, sekaligus menzahirkan semangat kebersamaan dalam menyokong para bakal haji.

Semoga semua bakal haji diberi kesihatan, kekuatan dan keberkatan sepanjang menunaikan ibadah haji, serta kembali dengan haji yang mabrur.

Tarikh Input: 16/04/2026 | Kemaskini: 16/04/2026 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691163
0397693640
X, (02:49:37pm-02:54:37pm, 22 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]