
SERDANG, 11 Februari – Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melakar sejarah baharu dengan berlangsungnya Majlis Perasmian Dewan Al-Khawarizmi, Pusat Islam UPM serta Pelancaran Ihya Ramadan Masjid UPM bagi tahun 2026. Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM.


Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan Asmaul Husna, diikuti dengan ucapan aluan daripada Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim. Seterusnya, Naib Canselor UPM menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan pengimarahan masjid sebagai pusat ilmu, pembangunan sahsiah dan pengukuhan ukhuwah warga kampus. Beliau kemudiannya merasmikan Dewan Al-Khawarizmi serta melancarkan program Ihya Ramadan Masjid UPM 2026.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Siti Amira Shukor, Bursar UPM, Tuan Haji Haris Dahlan, Pengarah Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infaq (WAZAN), pegawai kanan universiti, staf UPM serta ahli Jawatankuasa Masjid UPM Serdang.
Pengubahsuaian Dewan Al-Khawarizmi ini merupakan hasil sumbangan daripada Dana Wakaf Ilmu, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infaq (WAZAN), sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya wakaf sebagai pemangkin pembangunan prasarana ilmu dan kebajikan warga kampus.
Majlis ini bukan sahaja menandakan pembukaan rasmi Dewan Al-Khawarizmi sebagai ruang serba guna untuk aktiviti keilmuan dan kerohanian, tetapi juga menjadi titik tolak kepada pelaksanaan program Ihya Ramadan Masjid UPM yang saban tahun dinanti-nantikan oleh warga kampus dan masyarakat setempat.
Tarikh Input: 11/02/2026 | Kemaskini: 11/02/2026 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum