Masjid UPM Terima Kunjungan Pelajar Kajang Waldorf Inspired School | PUSAT ISLAM UNIVERSITI
» BERITA » Masjid UPM Terima Kunjungan Pelajar Kajang Waldorf Inspired School

Masjid UPM Terima Kunjungan Pelajar Kajang Waldorf Inspired School

Serdang, 15 November 2024 – Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menerima kunjungan seramai 15 orang pelajar bersama 3 guru pengiring dari Kajang Waldorf Inspired School dalam satu lawatan sambil belajar. Lawatan yang berlangsung pada hari Jumaat ini merupakan siri kedua bagi pelajar sekolah tersebut ke Masjid UPM.

Para pelajar disambut mesra oleh Pegawai Pusat Islam UPM dan lima orang pelajar daripada Rakan Siswa YADIM (RSY) UPM, yang turut membantu dalam sesi penerangan dan aktiviti sepanjang lawatan.

Lawatan ini dimulakan dengan pengenalan kepada sejarah dan struktur Masjid UPM, serta penerangan mengenai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Masjid UPM dan Pusat Islam UPM. Para pelajar juga diberi peluang mendalami amalan wudhu’ dengan sesi demonstrasi dan penerangan praktikal tentang cara mengambil wudhu’ dengan betul.

Guru-guru pengiring menyatakan rasa kagum terhadap sambutan dan penyampaian maklumat yang jelas dan menarik. “Lawatan ini sangat bermakna kerana memberi peluang kepada pelajar kami memahami budaya dan amalan Islam dengan lebih dekat,” ujar salah seorang guru pengiring.

Masjid UPM komited untuk terus menjadi platform pembelajaran dan perpaduan dengan membuka pintunya kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk program lawatan sambil belajar.

Tarikh Input: 20/11/2024 | Kemaskini: 20/11/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
X, (10:48:16pm-10:53:16pm, 18 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]