Pemantapan Bacaan Al-Quran Fokus Bengkel Imam Dan Bilal 2024 | PUSAT ISLAM UNIVERSITI pic
» BERITA » Pemantapan Bacaan Al-Quran Fokus Bengkel Imam dan Bilal 2024

Pemantapan Bacaan Al-Quran Fokus Bengkel Imam dan Bilal 2024

Serdang,12 September- Bengkel Pemantapan Kompetensi Imam dan Bilal 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Thinker Space 2.0, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat Islam UPM dan terbuka kepada imam serta bilal dari masjid dan surau di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, selain surau dan masjid di kawasan berhampiran.

Bengkel ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan imam serta bilal dalam memimpin solat, khususnya dalam aspek bacaan Al-Quran. Ustaz Jamal Mohd Qurtubi Sulaiman, Pengasas el Qurthubiy Quranic Centre dan penulis buku Makhraj Huruf, telah dijemput sebagai fasilitator utama bengkel. Beliau mengetuai sesi pembelajaran teori dan praktikal tentang makhraj huruf, dengan penekanan khusus kepada bacaan Surah Al-Fatihah yang betul.

Selain itu, tiga panel lain turut membantu dalam sesi praktikal, memberikan panduan bacaan yang tepat dan memperhalusi sebutan para peserta. Latihan ini memberi manfaat besar kepada para imam dan bilal dalam meningkatkan kualiti ibadah yang dipimpin mereka di masjid dan surau masing-masing.

Majlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, yang dalam ucapannya menyatakan harapan agar bengkel ini menjadi platform berterusan bagi memperkasakan peranan imam dan bilal sebagai pembimbing umat dalam aspek ibadah dan kehidupan seharian.

Dengan penganjuran bengkel ini, Pusat Islam UPM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan imam dan bilal yang berilmu, beretika, dan kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

Tarikh Input: 13/09/2024 | Kemaskini: 13/09/2024 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691163
0397693640
X, (09:32:30am-09:37:30am, 16 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]