Serdang, 25 November 2024 – Program Bicara Islam Rahmah - Siri 2 yang membawa tajuk "Membongkar Misteri: Ajaran Sesat dan Bahaya Taasub" telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Al-Khawarizmi, Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM). Program anjuran Jabatan Pendidikan Masyarakat, Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Pusat Islam UPM dan IKRAM Kawasan Serdang ini diadakan dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari, semalam.
Berformatkan bual bicara seperti podcast, program ini menampilkan Al-Fadhil Ustaz Dr. Fairooz Mohamed Fathillah, Ketua Institut Hadis dan Aqidah, Universiti Islam Selangor, sebagai pembicara utama. Beliau diwawancara oleh host versatil, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, seorang pendakwah yang juga merupakan pengasas bersama ARBA Foundation.
Dalam sesi perbincangan, Ustaz Dr. Fairooz menghuraikan pelbagai isu berkaitan ajaran sesat yang semakin berkembang di dunia moden, termasuk faktor-faktor kemunculannya, impak terhadap masyarakat, serta bahaya taasub yang sering menjadi punca ketegangan dan konflik. Ustaz Azlan Shah pula berjaya mencetuskan suasana santai tetapi penuh informasi melalui soalan-soalan kritis yang menarik minat hadirin.
Program ini dihadiri kira-kira 65 orang peserta secara fizikal, terdiri daripada ahli IKRAM Serdang, ahli kariah Masjid UPM, penduduk setempat, serta warga UPM. Turut hadir memeriahkan acara ialah YBhg. Tuan Zuhaimi Abdul Rahim, Pengarah Pusat Islam UPM; Tuan Hasmin Hakim Hasbullah, Timbalan Yang Dipertua IKRAM Serdang; Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Hassan, anggota Jawatankuasa IKRAM Serdang; dan Ketua Wanita IKRAM Serdang, Puan Aida Abd. Rahim.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kewujudan ajaran sesat yang mengancam akidah serta menyemai kesedaran tentang pentingnya berpegang teguh kepada ajaran Islam yang murni berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Kerjasama erat antara Pusat Islam UPM dan IKRAM Kawasan Serdang membuktikan komitmen mereka dalam memperkasakan kefahaman agama di kalangan komuniti setempat.
“Program seperti ini sangat penting untuk membuka mata masyarakat agar lebih peka terhadap cabaran akidah yang semakin kompleks,".
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memastikan kefahaman Islam yang benar terus disebar luas dan diterima oleh masyarakat.
Tarikh Input: 25/11/2024 |
Kemaskini: 25/11/2024 | asmunir
PERKONGSIAN MEDIA