Serdang, 23 November 2024 – Seramai 200 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Jiwa Putra 4.0, sebuah program khidmat masyarakat yang diadakan di Masjid UPM. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dengan matlamat memupuk semangat kesukarelawanan dan memantapkan peranan mahasiswa dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Pelajar yang terlibat dibahagikan kepada empat kumpulan dengan tugasan seperti berikut:
Kumpulan Pertama: Melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan kubur Kariah Serdang UPM.
Kumpulan Kedua: Mengecat tiang-tiang dan kawasan parkir OKU di perkarangan Masjid UPM.
Kumpulan Ketiga: Membersihkan kawasan Masjid UPM.
Kumpulan Keempat: Mengangkat dan menyusun buku-buku terpakai di tingkat atas Masjid UPM.
Sebelum aktiviti dimulakan, para pelajar diberikan taklimat oleh Pegawai Pusat Islam UPM bagi memastikan tugasan dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Turut hadir menyokong dan memeriahkan program ini ialah Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, yang turut meluangkan masa bertemu dan memberi kata-kata semangat kepada para peserta.
Program Jiwa Putra 4.0 mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UPM, selain menyumbang kepada usaha memakmurkan masjid dan komuniti sekitar. Melalui program ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyemai nilai murni, tetapi juga dapat merasai kepuasan berbakti kepada masyarakat.
"Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga prihatin terhadap komuniti,.
Program ini berakhir dengan sesi makan tengah hari bersama sebagai tanda penghargaan atas usaha semua pihak yang terlibat.
Tarikh Input: 25/11/2024 |
Kemaskini: 25/11/2024 | asmunir
PERKONGSIAN MEDIA