
6 & 7 Oktober 2025 | Pusat Islam Kampus Bintulu, Universiti Putra Malaysia Sarawak
Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Pemantapan Imam dan Bilal serta Program Pengurusan Jenazah pada 6 dan 7 Oktober 2025 bertempat di Pusat Islam Kampus Bintulu. Program ini bertujuan memperkukuh kompetensi amali dan kefahaman syariah dalam kalangan warga kampus serta komuniti setempat, khususnya dalam aspek kepimpinan solat dan pengurusan jenazah menurut hukum Islam.
Antara pengisian utama program ini ialah:
Bengkel Pemantapan Bacaan Al-Fatihah dan Tahsin Tajwid, yang menekankan ketepatan bacaan dan penghayatan dalam solat.
Bengkel Pengurusan Jenazah dan Perubatan Islam, yang merangkumi latihan praktikal serta pengenalan kepada kaedah rawatan berasaskan syariah.
Forum Perdana bertajuk "Meniti Jalan Menuju Reda Ilahi: Peranan Individu dan Masyarakat", yang membincangkan peranan imam dan bilal dalam memperkukuh institusi masjid serta usaha kolektif dalam meraih keredhaan Allah SWT.

Bagi menjayakan program ini, seramai tujuh orang pegawai dari Pusat Islam UPM Serdang telah hadir ke UPM Sarawak sebagai tenaga pelaksana. Delegasi ini diketuai oleh Ustaz Mohamad Alif Mursyid Husry, Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam), yang turut memainkan peranan utama dalam sesi bengkel dan forum.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kampus dan masyarakat sekitar, serta berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa ilmu dan kemahiran amali Islam secara berstruktur dan berkesan.
Tarikh Input: 09/10/2025 | Kemaskini: 09/10/2025 | asmunir

PUSAT ISLAM UNIVERSITI,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum