Silaturrahim Aidilfitri UPM: Ukhuwah Diperkukuh, Bakal Haji Dirai | PUSAT ISLAM UNIVERSITI pic
» BERITA » Silaturrahim Aidilfitri UPM: Ukhuwah Diperkukuh, Bakal Haji Dirai

Silaturrahim Aidilfitri UPM: Ukhuwah Diperkukuh, Bakal Haji Dirai

Serdang, 25 April 2025 — Majlis Silaturrahim Aidilfitri dan Meraiakan Bakal Haji Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tahun 2025/1446H telah berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni, menghimpunkan lebih 1000 jemaah dari kalangan warga kampus dan komuniti sekitar.

Majlis bermula seawal jam 7.00 malam dengan Solat Maghrib berjemaah yang diimamkan di ruang solat utama Masjid UPM. Seusai solat, majlis diteruskan dengan acara meraikan 97 orang bakal haji UPM yang akan berangkat menunaikan Rukun Islam kelima pada musim haji kali ini.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kesempatan yang dikurniakan Allah SWT kepada para bakal jemaah untuk menjadi tetamu-Nya. Beliau turut mendoakan agar semua bakal haji diberikan kesihatan, kekuatan, dan kemudahan sepanjang menjalani ibadah haji.

Sebagai simbolik penghargaan, cenderamata kenang-kenangan telah disampaikan kepada bakal jemaah haji oleh Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM, sebagai tanda sokongan dan doa restu dari seluruh warga UPM.

Majlis diteruskan dengan Solat Isyak berjemaah sebelum para jemaah menikmati jamuan istimewa Aidilfitri yang disediakan di hadapan perkarangan Masjid UPM. Pelbagai juadah tradisional dan moden dihidangkan, mengeratkan lagi ukhuwah sesama warga kampus dalam suasana penuh kemesraan.

Majlis Silaturrahim Aidilfitri ini bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan sesama jemaah, malah turut memberi makna besar dalam meraikan para bakal haji yang bakal membawa nama UPM ke Tanah Suci.

Pusat Islam UPM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini serta mengharapkan semangat silaturrahim dan ukhuwwah yang terjalin terus diperkukuh dalam kalangan warga universiti.

Tarikh Input: 27/04/2025 | Kemaskini: 27/04/2025 | asmunir

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691163
0397693640
X, (12:20:58pm-12:25:58pm, 28 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]