Ibu Dan Ayah Sanggup Bermalam Di Masjid Demi Hantar Anak Di UPM | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» NEWS » Ibu dan ayah sanggup bermalam di masjid demi hantar anak di UPM

Ibu dan ayah sanggup bermalam di masjid demi hantar anak di UPM

SERDANG, 30 Sep- Ibu dan ayah sanggup bermalam di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) demi menghantar anak sambung belajar adalah sebuah pengorbanan yang akan diingati bagi seorang pelajar.
 
Ini kerana pengorbanan tersebut yang akan membuatkan kita lebih menghargai ibu dan ayah yang sanggup menghantar dari jauh demi mengubah masa depan kita.
 
Bagi pelajar Bacelor Pendidikan (Sains Rumah Tangga), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Nur Syahidatul Iman Ahmad Tamizi, 19, menceritakan pengalamannya ke UPM bersama ibu dan adik-adik menaiki bas dari Gurun, Kedah.
"Saya sudah tiada ayah, jadi kami terpaksa menaiki bas untuk ke UPM bersama ibu dan juga adik-adik kerana tiada siapa pandai memandu. Saya sangat gembira kerana adik dan ibu banyak membantu saya untuk menyambung ijazah di UPM.
 
"Inilah pengorbanan besar yang dilakukan oleh ibu. Saya akan tunaikan hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang cikgu sama sepertinya," katanya yang menyertai program Musafir Hana di Masjid UPM.
 
Anak ketiga daripada lima beradik ini akan membuktikan bahawa dia adalah penyambung legasi ibunya sebagai seorang guru.
 
Masjid UPM menganjurkan Program Musafir Hana yang menjadikan Masjid UPM sebagai persinggahan sementara bagi pelajar dan keluarga dari perantauan untuk berehat dan tidur semalam.
Program itu bertujuan menyediakan penginapan sementara kepada bakal pelajar dan keluarga pelajar yang tiada tempat tinggal ketika pelajar datang mendaftar.
 
Program itu juga menyediakan makanan dan minuman secara percuma untuk bakal pelajar dan keluarga bermula sebaik mereka tiba di masjid sehingga waktu mereka pulang ke kampung halaman, serta membantu keluarga pelajar yang terputus wang ketika mahu pulang ke kampung halaman.
 
Menurut pelajar Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani), FPP, UPM, Norsyam Hakimi Abdu Mukmin, 20, berkata hanya dengan pendidikan beliau mampu mengubah nasib keluarga.
"Saya pada mulanya ingin terus bekerja sebagai seorang polis atau bekerja dengan keputusan SPM. Namun ayah tidak mengizinkan dan menyuruh saya untuk terus belajar dan mengubah nasib keluarga kami ini di Besut, Terengganu.
"Kerana kesungguhan ingin menjadi seorang guru, saya hadir ke temuduga di UPM seorang diri menaiki bas dan juga Grab.
 
"Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tawaran belajar di UPM sebagai seorang guru berkat doa ibu dan ayah," katanya.
 
Beliau berkata, sebelum bertolak ke UPM hari ini ayahnya sempat menjual kuih di pasar lalu bergegas menghantarnya ke UPM bagi menyambung ijazah.
 
"Saya akan ingat segala pengorbanan ayah dan ibu selama-lamanya. Saya akan menjadi contoh kepada adik-adik yang masih kecil, ujarnya ketika ditemubual di Masjid UPM bersama ahli keluarga yang bermalam di sana.
 
Mereka adalah antara pelajar baharu UPM yang mendaftar pada hari pertama sesi pendaftaran sesi akademik 2023/2024, di sini, hari ini.

Date of Input: 01/10/2023 | Updated: 01/10/2023 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
SXEcJAA~