IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 564: STATUS HADIS TAHUN KELAPARAN KETIKA MUNCULNYA DAJJAL | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» NEWS » IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 564: STATUS HADIS TAHUN KELAPARAN KETIKA MUNCULNYA DAJJAL

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 564: STATUS HADIS TAHUN KELAPARAN KETIKA MUNCULNYA DAJJAL

Soalan

Terdapat sebahagian orang yang mendakwa bahawa tidak lama lagi Dajjal akan muncul dan ketika itu tidak terdapat apa-apa makanan. Mereka menyarankan orang ramai untuk membuat persediaan dengan menyimpan makanan secukupnya. Adakah hadis ini wujud dan apakah statusnya?

 

Ringkasan Jawapan

Hadis berkenaan ketiadaan makanan ketika munculnya Dajjal diriwayatkan oleh  Ibn Majah dalam Sunannya daripada Abu Umamah. Riwayat Ibn Majah ini berstatus daif namun ia memiliki riwayat lain yang menjadi penguat sehingga hadis berkenaan suasana kelaparan yang berlaku ketika munculnya Dajjal ini berstatus hasan li ghairihi. Namun harus diingatkan bahawa hadis ini dengan jelas menyebut berkaitan makanan orang beriman ketika itu adalah zikir. Tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat dan tanda-tanda kiamat. 

Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan ketakutan dalam kalangan masyarakat. Umat Islam dianjurkan sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan dalam hidup. Antara anjuran Nabi SAW untuk berhadapan dengan Dajjal ialah dengan membanyakkan membaca dan menghayati 10 ayat awal dan 10 ayat akhir dari surah al-Kahfi. 

 

Huraian Jawapan

Hadis berkenaan ketiadaan makanan ketika munculnya Dajjal diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunannya daripada Abu Umamah:

 وَإِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلَاثَ سَنَوَاتٍ شِدَادٍ يُصِيبُ النَّاسَ فِيهَا جُوعٌ شَدِيدٌ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الْأُولَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسُ ثُلُثَيْ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَيْ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسُ مَطَرَهَا كُلَّهُ فَلَا تُقْطِرُ قَطْرَةً وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ نَبَاتَهَا كُلَّهُ فَلَا تُنْبِتُ خَضْرَاءَ فَلَا تَبْقَى ذَاتُ ظِلْفٍ إِلَّا هَلَكَتْ إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ قِيلَ فَمَا يُعِيشُ النَّاسُ فِي ذَلِكَ الزَّمَانِ قَالَ التَّهْلِيلُ وَالتَّكْبِيرُ وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ وَيُجْرَى ذَلِكَ عَلَيْهِمْ مُجْرَى الطَّعَامِ 

Maksudnya: “Sesungguhnya sebelum keluarnya Dajal terdapat 3 tahun yang sukar. Manusia akan ditimpa dengan kelaparan yang dahsyat. Allah memerintahkan langit pada tahun yang pertama untuk menahan 1/3 dari hujan dan Allah memerintahkan bumi untuk menahan 1/3 dari tumbuh-tumbuhan lalu Allah memerintahkan langit pada tahun yang kedua untuk menahan 2/3 dari air hujan dan menyuruh bumi untuk menahan 2/3 dari tumbuhan.  Kemudian Allah memerintahkan langit pada tahun yang ketiga untuk menahan kesemua air hujan sehingga tiada setitis air hujan dan menyuruh bumi untuk menahan keseluruhan tumbuhan maka tidak ada tumbuhan hijau yang tumbuh. Tidak adalah sesuatu yang memiliki kuku melainkan binasa kecuali mereka yang diinginkan oleh Allah. Lalu ditanya: “Bagaimanakah manusia akan hidup pada waktu itu?” Nabi bersabda: “Dengan tahlil, tasbih, tahmid dan kesemua itu akan menjadi seperti makanan buat mereka.” 

(Riwayat Ibn Majah)

Ibn Majah kemudian meriwayatkan bahawa Abdul Rahman al-Muharibi berkata:

يَنْبَغِي أَنْ يُدْفَعَ هَذَا الْحَدِيثُ إِلَى الْمُؤَدِّبِ حَتَّى يُعَلِّمَهُ الصِّبْيَانَ فِي الْكُتَّابِ

Maksudnya: “Selayaknya hadis ini diberikan kepada para guru sehingga mereka boleh ajarkan kepada kanak-kanak di sekolah.”

Perkataan Abdul Rahman al-Muharibi ini menunjukkan kepentingan hadis ini dalam menyifatkan suasana huru hara hari kiamat. 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ali bin Muhammad daripada Abdul Rahman al-Muharibi daripada Ismail bin Rafi’ daripada Abu Zura’ah al-Saibani daripada Abu Umamah. Walau bagaimanapun riwayat Ibn Majah ini daif kerana perawi bernama Abu Zura’ah al-Saibani tidak pernah bertemu dengan Abu Umamah di samping perawi bernama Ismail bin Rafi’ merupakan perawi yang lemah[1]. Imam Ahmad menyatakan beliau sebagai lemah dalam hadis manakala Imam al-Nasai menyebutkan beliau sebagai matruk al-hadis(ditinggalkan hadisnya). 

Dalam riwayat Ahmad pula disebutkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ جَهْدًا يَكُونُ بَيْنَ يَدَيْ الدَّجَّالِ فَقَالُوا أَيُّ الْمَالِ خَيْرٌ يَوْمَئِذٍ قَالَ غُلَامٌ شَدِيدٌ يَسْقِي أَهْلَهُ الْمَاءَ وَأَمَّا الطَّعَامُ فَلَيْسَ قَالُوا فَمَا طَعَامُ الْمُؤْمِنِينَ يَوْمَئِذٍ قَالَ التَّسْبِيحُ وَالتَّقْدِيسُ وَالتَّحْمِيدُ وَالتَّهْلِيلُ قَالَتْ عَائِشَةُ فَأَيْنَ الْعَرَبُ يَوْمَئِذٍ قَالَ الْعَرَبُ يَوْمَئِذٍ قَلِيلٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menceritakan berkenaan kesukaran yang berlaku ketika turunnya Dajjal lalu sahabat bertanya: “Apakah harta yang paling bernilai ketika itu?” Sabda Nabi: “kanak-kanak lelaki yang dalam keadaan kesukaran memberikan keluarganya air, adapun makanan maka tidak ada makanan ketika itu.” sahabat bertanya lagi: “Apakah makanan bagi orang beriman ketika itu?” Sabda Nabi: “Tasbih, taqdis, tahmid dan tahlil.” Berkata Aisyah: “Dimanakah bangsa arab ketika itu?” Jawab Nabi: “Bangsa Arab ketika itu sedikit.”

(Riwayat Ahmad)

Selain itu, terdapat beberapa riwayat lain yang menyebutkan berkenaan suasana kelaparan yang berlaku ketika mana munculnya Dajal. Antara yang meriwayatkannya ialah: al-Hakim dalam al-Mustadrak[2] dan al-Tabrani dalam Mu’jamnya[3]. Kesemua riwayat ini menjadi penguat kepada riwayat Ibn Majah sehingga hadis berkenaan perkara ini dinilai sebagai hasan li ghairihi

Dalam menerangkan makna hadis ini Imam al-Munawi berkata bahawa zikir-zikir tersebut akan menggantikan makanan bagi orang beriman sebagaimana pakaian yang melindungi seseorang dari kepanasan[4]. Harus diingatkan hadis ini dengan jelas menyebut bahawa ketika tiba saat itu tidak ada makanan bagi orang beriman melainkan zikir. Tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat dan tanda-tandanya secara pasti. Menetapkan Kiamat dan tanda-tandanya pada waktu tertentu adalah menyalahi konsep dalam memahami hadis-hadis akhir zaman. 

Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah menyebutkan bahawa perkara yang perlu diingatkan ialah apa sahaja yang disampaikan oleh baginda Nabi SAW adalah benar. Namun menetapkan bilakah berlakunya kiamat memerlukan kepada riwayat yang sahih. Tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat. Riwayat hanya menyebut bahawa Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat namun tidak ada yang tahu Jumaat yang manakah akan berlakunya kiamat. Begitu juga dengan tanda-tanda kiamat, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah tanda-tanda itu akan muncul[5].

Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan ketakutan kepada masyarakat awam. Orang beriman sentiasa disuruh untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku dalam hidup. Bilakah akan berlakunya tahun-tahun kelaparan tersebut hanya Allah yang Maha mengetahui. Apa yang pasti, pada saat itu tiba Nabi SAW memberitahu bahawa makanan orang beriman ketika itu adalah zikir. Nabi SAW mengajarkan kepada umat membuat persiapan untuk menghadapi Dajjal dengan cara menghafal dan menghayati 10 ayat awal daripada surah al-Kahfi. Sabda Nabi SAW:  

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Siapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara dari (fitnah) Dajjal.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa dalam riwayat yang lain menyebut 10 ayat akhir dari surah al-Kahfi. Dikatakan bahawa sebab 10 ayat ini diberi keistimewaan oleh Allah SWT kerana padanya terdapat keajaiban dan tanda-tanda. Siapa yang menghayati 10 ayat awal dan 10 ayat akhir surah al-Kahfi maka dia tidak akan tergugat dengan fitnah Dajjal[6].  

 

[1] Rujuk pandangan Syeikh Syuib al-Arnaut dalam ta’liq Sunan Ibn Majah. Dimasyq: Dar al-Risalah al-Alamiyyah (2009), jld. 5, hlm. 201.   

[2] Imam al-Hakim, Mustadrak ala Sahihain, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1990), jld. 4, hlm. 557.

[3] Imam al-Tabrani, al-Mu’jam al-Kabir, Qahirah: Maktabah Ibn Taimiyah (1994), jld. 24, hlm. 157.

[4] Imam al-Munawi, Faidh al-Qodir, Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah (1356H), jld. 4, hlm. 351.

)طعام المؤمنين في زمن الدجال) أي في زمن ظهوره (طعام الملائكة التسبيح والتقديس) خبر مبتدأ محذوف أو بدل مما قبله أي يقوم لهم مقام الطعام في الغداء (فمن كان منطقه يومئذ التسبيح والتقديس أذهب الله عنه الجوع) أي والظمأ فكأنه اكتفاء به من قبيل : سرابيل تقيكم الحر.

[5] Imam al-Qurtubi, Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, Jeddah: Dar al-Minhaj (1425H),  jld. 2, hlm. 294.

و الذي ينبغي أن يقال به في هذا الباب أن ما أخبر به النبي صلى الله عليه و سلم من الفتن و الكوائن أن ذلك يكون و تعيين الزمان في ذلك من سنة كذا و يحتاج إلى طريق صحيح يقطع العذر ، و إنما ذلك كوقت قيام الساعة فلا يعلم أحد أي سنة هي و لا أي شهر إما أنها تكون في يوم جمعة في آخر ساعة منه و هي الساعة التي خلق فيها آدم عليه السلام ، و لكن أي جمعة لا يعلم تعيين ذلك اليوم إلا الله وحده لا شريك له ، و كذلك ما يكون من الأشراط تعيين الزمان لها لا يعلم ، و الله أعلم .

[6] Imam al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, Beirut: Dar a-Ihya al-Turast al-Arabiy (1392H), jld. 6, hlm. 93.

وفي رواية من آخر الكهف قيل سبب ذلك ما في أولها من العجائب والايات فمن تدبرها لم يفتتن بالدجال وكذا في آخرها

SUMBER :https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/5288-irsyad-al-hadith-siri-ke-564-status-hadis-tahun-kelaparan-ketika-munculnya-dajjal

Date of Input: 15/09/2022 | Updated: 15/09/2022 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
BWJZAA5:00:08