________________________________________________________
Khamis| 14 Zulhijah 1445H| 21 Jun 2024|.#113
Mensyukuri Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.” (HR Muslim No: 2963) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1.Setiap kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Antara satu cara untuk kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan adalah dengan sentiasa melihat orang yang lebih rendah daripada kita dalam perkara yang berkaitan dengan nikmat dunia seperti tubuh badan yang menarik dan sihat, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan.
2.Bersyukurlah diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Semoga dengan memiliki sifat bersyukur akan menjauhkan kita dari penyakit tamak, hasad, dengki dan berangan-angan.
3.Manusia jika melihat kepada orang yang lebih tinggi levelnya dari sisi dunia, maka jiwanya akan menuntut yang serupa dan mulai merendahkan kenikmatan yang Allah berikan kepadanya, kemudian bertekad untuk menambah hartanya agar dia dapat mengejar kekayaan orang tersebut atau menyamainya. Namun jika dia melihat kepada orang yang lebih rendah darjatnya dalam hal dunia dan harta, akan terpampang di hadapannya kenikmatan Allah yang besar kepadanya, maka dia akan bersyukur atas kenikmatan itu, bersikap rendah hati, serta akan melakukan amalan-amalan kebaikan.
4.Dalam hal kehidupan dunia, berusahalah sebaik mungkin untuk jangan sering memandang orang yang berada di atas kita. Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki kini. Tidak perlu irihati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Lihatlah orang yang berada di bawah kita. Masih ramai orang yang tidak beruntung seperti kita kerana hal ini akan menjauhkan kita dari bersyukur. Allah SWT telah berfirman :
لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim ayat : 7)
________________________________________________________
Rabu| 13 Zulhijah 1445H| 20 Jun 2024|.#112
Mengingati Neraka

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول
أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ" فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى لَوْ كَانَ فِي مَقَامِي هَذَا سَمِعَهُ أَهْلُ السُّوقِ وَحَتَّى سَقَطَتْ خَمِيصَةٌ كَانَتْ عَلَيْهِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ
Daripada Nu’man bin Basyir RA katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan berkata: “Aku berikan peringatan kepada kamu semua tentang neraka, Aku berikan peringatan kepada kamu semua tentang neraka.” Baginda sentiasa mengulanginya sehingga seandainya baginda berada di kedudukan aku ini, orang-orang yang berada di (hujung) pasar akan mendengarnya. (baginda mengulangi ungkapan tersebut) sehingga kain baginda yang berada di atas bahu terjatuh ke kaki baginda tanpa disedari.” (HR Tirmizi No: 5687) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Neraka adalah suatu tempat yang menggerunkan. Kawasannya sangat dalam. Azab yang disediakan di dalamnya berbentuk kepanasan yang melampau dan membakar. Cemeti-cemetinya diperbuat daripada besi.
2. Nabi SAW sering memberikan peringatan tentang neraka. Kesungguhan baginda dalam memberi peringatan itu sehingga baginda meninggikan suara dan mengulanginya beberapa kali.
3.Kita diperintahkan untuk sentiasa mengingati hari pembalasan. Seperti pesan saidina Umar:
أَكْثِرُوا ذِكْرَ النَّارِ فَإِنَّ حَرَّهَا شَدِيدٌ وَإِنَّ قَعْرَهَا بَعِيدٌ وَإِنَّ مَقَامِعَهَا حَدِيدٌ
“Perbanyakkanlah mengingati neraka. Sesungguhnya kepanasannya bersangatan, lantainya amat dalam dan cemeti-cemetinya adalah besi.”
4. Dalam berdakwah, hendaklah digabungkan unsur-unsur memberi khabar gembira tentang syurga dan khabar ancaman dengan neraka. Agar ada dorongan melakukan kebaikan kerana mengharapkan syurga dan berusaha menjauhi dosa kerana gerunkan azab neraka.
________________________________________________________
Selasa| 12 Zulhijah 1445H| 18 Jun 2024|.#111
Sembelihan Korban Selepas Solat Sunat Hari Raya

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَإِنَّمَا ذَبَحَ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَقَدْ تَمَّ نُسُكُهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ الْمُسْلِمِينَ
Daripada Anas bin Malik RA, dia berkata; Nabi SAW bersabda: Barang siapa menyembelih (binatang korban) sebelum solat (Eid), maka ia menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barang siapa menyembelih setelah solat (Eid), maka ibadah korbannya telah sempurna dan bertindak sesuai dengan sunnah kaum Muslimin." (HR Bukhari No: 5120) Status : Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Penyembelihan korban adalah amal yang lebih disukai Allah pada Hari Raya Eidul Adha dan hari-hari tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah) daripada setiap Muslim yang berkemampuan.
2.Mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban hendaklah melakukan sembelihan selepas solat sunat Eidul Adha.
3.Sembelihan Korban yang dilaksanakan sebelum solat sunat hari raya tidak menjadi ibadat korban, malah hanya akan menjadi sembelihan untuk makan biasa.
4.Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan waktu sembelihan selepas solat sunat Eidul Adha pada 10hb Zulhijjah sehingga hari tasyrik terakhir 13hb sebelum waktu maghrib.
5.Laksanakan korban dengan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan di samping cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.
________________________________________________________
Jumaat| 07 Zulhijah 1445H| 14 Jun 2024|.#110
Bersegera Dengan Amal Soleh

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar." (HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.
2. Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.
3. Setiap Muslim hendaklah segera beramal dan memperbaiki agar amal lebih baik sebelum datangnya tujuh perkara berikut :
a) Kemiskinan yang melupakan kewajipan seperti tidak kisah soal halal dan haram.
b) Kekayaan yang menimbulkan rasa angkuh dan sombong.
c) Penyakit berat sehingga sukar untuk beramal soleh.
d) Tua yang menyebabkan nyanyuk dan keuzuran.
e) Kematian mengejut.
f) Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat.
g) Hari Kiamat yang sangat mengerikan.
________________________________________________________
Khamis| 06 Zulkaedah 1445H| 13Jun 2024|.#109
Taqarub Kepada Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: "Aku bersikap mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam perkumpulan mereka, maka Aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatkan diri kepadanya sedepa. Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)." (HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.
2. Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.
3. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah dengan berjalan, nescaya Allah akan mendatanginya lebih cepat daripada itu.
4. Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya menyakiti orang lain. Dibimbangi perkara sunat itu menjadi haram. Moga menjadi peringatan buat mereka yang sekarang ini menjadi tetamu duyufurahman di Makah.
________________________________________________________
Rabu| 05 Zulhijah 1445H| 12 Jun 2024|.#108
Amalan Yang Mengatasi Jihad

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"
Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.
2. Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.
3. Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).
4. Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.
_______________________________________________________
Selasa| 04 Zulhijah 1445H| 11 Jun 2024|.#107
Amalan 10 Hari Pertama Zulhijah

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1.Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah). Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر
“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.
2.Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).
3.Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1 - 9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir – tahlil, takbir dan tahmid, tilawah al-Quran, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban, berdakwah serta pelbagai amal soleh yang lain.
4.Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9hb (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir
________________________________________________________
Jumaat| 29 Zulkaedah 1445H| 07 Jun 2024|.#106
Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Aidiladha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Hari Raya Korban semakin hampir. Tahukah kita bahawa amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Aidiladha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban.
2. Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia.
3. Ibadah korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredai-Nya sebelum darahnya menitik ke bumi.
4. Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.
_______________________________________________________
Khamis| 28 Zulkaedah 1445H| 06 Jun 2024|.#105
Taat Perintah Allah SWT Ikut Sunnah Nabi SAW

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَرْجِسَ قَالَ :رَأَيْتُ الْأَصْلَعَ يَعْنِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأُقَبِّلُكَ وَإِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ
Daripada ‘Abdullah bin Sarjis RA berkata; Aku pernah melihat al-Ashla' iaitu ‘Umar bin al-Khatab RA mencium hajar aswad dan berkata: "Demi Allah, sesungguhnya aku pasti akan menciummu, meskipun aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi mudarat dan tidak pula dapat memberi manfaat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu." (HR Bukhari, No: 1597) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Allah SWT yang mencipta seluruh makhluk dan Allah berkuasa atas segala sesuatu. Setiap ciptaan-Nya tidak dapat mendatangkan sesuatu kebaikan mahupun keburukan kecuali dengan keizinan dan kehendak-Nya.
2.Setiap Muslim hendaklah mentaati segala perintah Allah SWT selari dengan petunjuk Sunnah Nabi Muhammad SAW.
3.Perlu difahami bahawa perintah Allah SWT ada yang dihukumkan sebagai wajib, sunat, makruh, haram dan harus berdasarkan kaedah-kaedah hukum yang telah disepakati oleh ulama. Perbuatan mencium hajar aswad contohnya, para sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Umar RA mengikuti amalan tersebut sebagai ittiba’ (ikutan sunnah) tanpa banyak persoalan kerana mereka melihat amalan tersebut dilakukan oleh Rasulullah SAW.
4.Dalam mazhab Syafie hukum mencium hajar aswad adalah sunat. Namun perlu diingat, ketika melakukan perbuatan mencium hajar aswad itu, pastikan tidak menzalimi dengan menarik atau menyakiti orang lain. Dibimbangi perkara sunat itu menjadi haram. Moga menjadi peringatan buat mereka yang sekarang ini menjadi tetamu duyufurahman di Makah.
_______________________________________________________
Rabu| 27 Zulkaedah 1445H| 05 Jun 2024|.#104
Ujian Kehidupan dan Amal Penghapus Dosa

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عُمَرَ فَقَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْفِتْنَةِ كَمَا قَالَ قَالَ فَقُلْتُ أَنَا قَالَ إِنَّكَ لَجَرِيءٌ وَكَيْفَ قَالَ قَالَ قُلْتُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَنَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ يُكَفِّرُهَا الصِّيَامُ وَالصَّلَاةُ وَالصَّدَقَةُ وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عَنْ الْمُنْكَرِ
Daripada Hudzaifah RA berkata: Kami berada di kediaman Umar lalu ia bertanya: Siapa diantara kalian yang hafal hadis Rasulullah SAW tentang fitnah (ujian) seperti yang baginda sabdakan? Hudzaifah bin Al Yaman menjawab: Aku. Umar berkata: Sesungguhnya engkau berani, apa yang baginda sampaikan? Aku (Hudzaifah bin Al Yaman) berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Fitnah atau ujian seseorang terhadap keluarganya, hartanya, dirinya, anak dan jiran tetangganya. Ianya akan terhapus (dosanya) apabila ia melakukan solat, bersedekah, mengajak kepada kebaikan (maaruf) dan mencegah kemungkaran." (HR Muslim No: 5150) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap mukmin akan menghadapi ujian dalam hidup dan perlu sentiasa berwaspada.
2. Ujian bukan hanya dalam perkara yang buruk sahaja malah termasuk yang berupa nikmat antaranya ujian terhadap kaum keluarga seperti seorang suami atau bapa lalai terhadap isteri dan anak-anak. Atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap mereka.
3. Kita akan diuji dengan harta sama ada sumbernya mahupun penggunaannya. Ada mereka yang dilalaikan dengan harta dari beribadat, ada yang tidak berzakat serta bakhil.
4. Kita juga mungkin akan diuji dengan jiran tetangga. Kadang-kadang dengan sebab kecil boleh bergaduh serta berhasad dengki. Mungkin juga dengan kita tidak mengambil tahu keadaan serta kesusahan jiran.
________________________________________________________
Selasa| 26 Zulkaeddah 1445H| 04 Jun 2024|.#103
Tanggungjawab Orang Beriman

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ
Daripada Ibnu Abbas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'adz bin Jabal RA ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), jika kamu sudah mendatangi mereka maka ajaklah mereka itu untuk mengucap syahadah bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka hendaklah kamu beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan bagi mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bagi mereka zakat yang diambil dari kalangan orang mampu dari mereka untuk diagihkan kepada orang yang fakir dari kalangan mereka. Jika mereka mentaati kamu dalam hal itu maka janganlah kamu mengambil harta-harta terhormat mereka dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab (sekatan yang menghalangi)". (HR Bukhari No: 1401) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menjadi tanggungjawab dalam berdakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah dan Rasul dengan cara mengakui Allah yang menjadikan sekalian alam dan mentadbir sekalian makhluk di samping mentaati seruan dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah.
2. Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman untuk melaksanakan perintah solat yang wajib lima kali sehari semalam sebagai tanda ketundukan dan kepatuhan kepada pencipta.
3. Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman, yang memiliki harta untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bagi melahirkan kehidupan yang rahmah dan harmoni.
----------------------------------------------------------------------------------
Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:
Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia
◾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012
----------------------------------------------------------------------------
Updated:: 24/06/2024 [asmunir]

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum