MEI 2024 | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARCHIVE COLLECTION » Lets Reflect » MEI 2024

MEI 2024

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

◾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

----------------------------------------------------------------------------

Jumaat| 22 Zulkaedah 1445H| 31 Mei 2024|.#102

Pemimpin Perlu Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ


Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatnya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya." (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2. Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya membodek dan mengambil kesempatan.

3. Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.

4. Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah dan bertakwa untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik.

________________________________________________________

Khamis| 21 Zulkaedah 1445H| 30 Mei 2024|.#101

Al-Quran Syafaat dan Barakah

عَنْ زَيْدٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَلَّامٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Daripada Zaid bahawa ia mendengar Abu Sallam berkata, telah menceritakan kepadaku Abu Umamah Al Bahili ia berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang memberi syafaat kepada para pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah Al-Baqarah dan Ali Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tompok awan menaungi pembacanya, atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al-Baqarah, kerana dengan membacanya akan memperoleh barakah, dan dengan tidak membacanya akan menyebabkan penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir." (HR Muslim No: 1910) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Al-Quran akan menjadi penolong (pemberi syafaat) kepada pembacanya pada hari akhirat nanti.

2. Al-Munawi menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya, akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan di hari akhirat.

3. Sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran, pada hari kiamat nanti akan mendapat naungan kedua surah ini dengan izin Allah.

________________________________________________________

Rabu| 20 Zulkaedah 1445H| 29 Mei 2024|.#100

Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ


Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat nanti. Puasa akan berkata : "Wahai Rabb ku, saya telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwatnya, kerananya perkenanankan aku untuk memberi syafaat kepada nya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Saya telah melarangnya daripada tidur pada malam hari, kerananya perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Baginda bersabda : "Maka syafaat keduanya diperkenankan." (Musnad Ahmad No: 6589) Dar Ihya Turath Arab. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Puasa dan al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.

2. Orang yang berpuasa semasa di dunia, puasa akan menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.

3. Orang yang menyibukkan diri dengan al-Quran (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari), al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.

4. Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya.

________________________________________________________

Selasa| 19 Zulkaedah 1445H| 28 Mei 2024|.#099

Sahibul Al-Quran

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا

Daripada Abdullah bin 'Amru dari Nabi SAW baginda bersabda: "Pada hari pengadilan kelak akan diseru kepada (sohibul Quran) ahli Al-Quran; Teruskanlah bacaan al-Quran Mu dan teruskanlah menaiki tingkat demi tingkat syurga dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membacanya ketika di dunia, sesungguhnya tempat terakhirmu ada pada ayat terakhir yang kamu baca.". (HR Tirmidzi No: 2838) Status: Hadis Hasan Sahih.


Pengajaran:

1. Sohibul Quran ialah mereka yang ahli dalam al-Quran, sentiasa mendampingi al-Quran juga penghafal al-Quran.

2. Ahli al-Quran akan sentiasa menjaga hak al-Quran dengan membacanya, menghafal, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

3. Orang yang membaca dan menghafal al-Quran perlu memberi tumpuan dan perhatian serta bersungguh-sungguh secara berterusan membaca dan menjaganya. Semoga al-Quran menjadi pegangan dan panduan hidup.🤲 Aamin

________________________________________________________

Isnin| 18 Zulkaedah 1445H| 27 Mei 2024|.#98

Manusia Paling Baik dan Paling Buruk

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ


Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya, bahawa seorang laki-laki berkata; "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?" Baginda bersabda: "Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya." Tanyanya lagi; "Siapakah manusia yang paling buruk?" Jawab baginda: "Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya." (Musnad Ahmad No: 19519) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Manusia yang paling baik ialah yang panjang umurnya serta sentiasa melakukan amal soleh.

2. Orang yang paling baik adalah yang paling banyak amal kebaikannya dengan sebab umur yang bertambah dan membolehkannya melakukan amal soleh yang ganjarannya berterusan walaupun dia telah meninggal dunia.

3. Orang yang paling buruk pula adalah mereka yang diberikan umur yang panjang namun berterusan melakukan amal maksiat dan dosa.

_________________________________________________________

Jumaat| 15 Zulkaedah 1445H| 24 Mei 2024|.#097

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun" (HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim adalah ibadah Korban.

2.Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban hukumnya sunat Muakkad (amat digalakkan).

3.Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan

4.Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail AS. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah.

________________________________________________________

Khamis| 14 Zulkaedah 1445H| 23 Mei 2024|.#096

Umrah Menghapuskan Dosa, Haji Mabrur Balasannya Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (Sahih Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:

1.Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya. Iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak antara ibadah umrah tersebut.

2.Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya.

3.Setiap muslim yang belum melaksanakan ibadat haji, mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikannya dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

________________________________________________________

Rabu| 13  Zulkaedah 1445H| 22 Mei 2024|.#095

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ


Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” (Musnad Ahmad No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja melainkan bersebab yang dibenarkan Syara.

2.Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan.

3.Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana.

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package Tabung Hajji yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan dari segi kewangan, maka elok diusahakan pemergian itu..

________________________________________________________

Selasa| 12 Zulkaedah 1445H| 21 Mei 2024|.#094

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ


Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, Allâh telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Rasûlullâh SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu.” (Sahih Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia dalam keadaan tidak diredhai Allah.

4.Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan.

________________________________________________________

Isnin| 11 Zulkaedah 1445H| 20 Mei 2024|.#093

Mukmin Umpama Lebah

عَن عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تُكْسَرْ وَلَمْ تَفْسُدْ

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak." (HR Ahmad No: 6577) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Mukmin perlu sentiasa melakukan amal kebaikan walau kepada siapapun dan dimana sahaja.

2. Seorang Mukmin sepatutnya berperanan sebagai agen perubahan di mana sahaja dia berada.

3. Jadilah kita seperti lebah yang berperanan secara semulajadi membantu proses pendebungaan bunga-bunga dan dalam masa yang sama menghasilkan madu. (Kita sentiasa memberi manfaat kepada orang lain).

4. Jadilah kita seperti lebah, mendapat sesuatu dari sumber yang baik, menggunakan dan menyumbang kepada manusia lain juga yang baik dan bermanfaat. Dimana-mana kita berada, kita bukan beban tetapi asset kepada orang lain.

________________________________________________________

Jumaat| 8 Zulkaedah 1445H| 17 Mei 2024|.#092

Mohon Perlindungan Daripada Keburukan Amalan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Adalah Rasulullah SAW sering berdoa: Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan". (HR Muslim No: 2720) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Menjadi kewajipan kita untuk berdoa memohon kebaikan dalam hidup sama ada di dunia juga di akhirat.

2. Antara permohon dalam doa kita adalah agar diperbaiki amalan agama kerana agama adalah cara hidup yang menjadi panduan kita menuju jalan kebenaran. Hanya dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sahajalah manusia itu akan mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat.

3. Allah turunkan agama untuk menjadi benteng yang melindungi seseorang agar tidak tergelincir dan terjerumus dalam kesalahan dan maksiat. Ia menjaga manusia daripada kesesatan dan mengikut hawa nafsu dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.

________________________________________________________

Khamis| 7 Zulkaedah 1445H| 16 Mei 2024|.#091

Guru Penyebar Kebaikan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا


Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.

2. Guru yang ingin mendapat ganjaran pahala berterusan akan sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

3. Seorang guru akan sentiasa berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.

4. Guru yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar, dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

________________________________________________________

Rabu| 6 Zulkaedah 1445H| 15 Mei 2024|.#090

Elakkan Perkataan Menyebabkan ke Neraka

َنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ مَا فِيهَا يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ.


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seseorang hamba apabila mengucapkan sesuatu perkataan tanpa diteliti akan kebenarannya, akan membuatkannya terjerumus ke dalam neraka yang dalamnya sejauh antara jarak timur ke barat." (HR Bukhari No. 6477) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Lidah adalah anggota anugerah Allah yang boleh mengeluarkan sesuatu perkataan ataupun ungkapan daripada seseorang. Perkataan atau ucapan tersebut boleh menjadi satu kebenaran dan boleh juga menjadi satu pembohongan, mengumpat mahupun fitnah.

2. Rasulullah SAW mengingatkan agar setiap Muslim menjaga setiap perkara yang diucapkan oleh lidah. Ucapan yang benar lagi memberikan kesan yang baik akan mendatangkan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan menjadi sebab seseorang dimasukkan ke dalam syurga.

3. Adakalanya ucapan yang benar tetapi dengan sebab tidak diselidiki adakah perkataan itu akan memberikan kesan yang baik ataupun buruk maka ia mungkin menjadi punca yang memasukkannya ke dalam neraka. Apatah lagi jika sesuatu ucapan yang buruk seperti mengeji, memfitnah, mengaibkan orang lain, berbohong dan seumpamanya pasti akan menyebabkan kehancurannya dan ianya adalah haram lagi berdosa.



_______________________________________________________

Selasa| 5 Zulkaedah 1445H| 14 Mei 2024|.#089

Mohonlah Kebaikan dalam Setiap Urusan

 

َنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW sering berdoa: Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan". (HR Muslim No: 2720) Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Menjadi kewajipan kita untuk berdoa memohon kebaikan dalam hidup sama ada di dunia juga di akhirat.

2. Antara permohonan dalam doa kita adalah agar diperbaiki amalan agama kerana agama adalah cara hidup yang menjadi panduan kita menuju jalan kebenaran. Hanya dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sahajalah manusia itu akan mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat.

3. Allah SWT mensyariatkan agama Islam sebagai panduan hidup untuk menjadi benteng yang melindungi seseorang agar tidak tergelincir dan terjerumus dalam kesalahan dan maksiat. Kepatuhan terhadap ajaran Islam dapat menghindarkan kita daripada kesesatan hawa nafsu dengan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT.
“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

________________________________________________________

Isnin| 4 Zulkaedah 1445H| 13 Mei 2024|.#088

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” (HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan.

2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3.Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

________________________________________________________

Jumaat| 1 Zulkaedah 1445H| 10 Mei 2024|.#087

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ


Daripada Hakim bin Hizam RA dari Nabi SAW bersabda: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bersedekah lebih baik daripada meminta-minta. Nabi SAW mencela orang yang suka meminta-minta (mengemis) kerana perbuatan tersebut merendahkan martabat kehormatan manusia

2. Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.

3. Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.

4. Berusahalah mencari rezeki sebaik mungkin dan elakkan diri dari meminta-minta atau mengharap belas kasihan orang lain Sesungguhnya Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki tanpa meminta-minta.

________________________________________________________

Khamis| 30 Syawal 1445H| 09 Mei 2024|.#086

Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Daripada Abdullah bin Buraidah RA dari ayahnya, dari Nabi SAW baginda bersabda: Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " (HR Abu Daud, no 2943) Status: Hadis Sahih; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

Pengajaran:

1. Setiap orang yang dilantik sebagai pekerja dan dibayar gaji oleh majikan hasil daripada pelaksanaan kerja seperti yang dipersetujui, maka pendapatan yang diperolehi adalah bersih dan halal.

2. Orang yang mengambil upah selain daripada yang ditetapkan oleh majikan yang bukan haknya adalah suatu pengkhianatan.

3. Pengkhianatan itu boleh dalam pelbagai bentuk seperti wang ringgit, diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan, ‎peratusan, hadiah, kemudahan, jawatan, undi, kontrak, tuntutan palsu, perlepasan, penyelesaian, perlindungan dan sebagainya.

4. Mereka yang terlibat dengan pengkhianatan ini akan dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram, Neraka lebih utama untuknya. Dengan rezeki pengkhianatan tersebut, akan hilang keberkatan ‎dalam kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan malah terdorong ‎ke arah kemaksiatan dan kejahatan.‎

________________________________________________________

Rabu| 29 Syawal 1445H| 08 Mei 2024|.#085

Pekerjaan Paling Baik

عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.” (HR. Baihaqi No: 1222) Status: Sahih lighairihi

Pengajaran:

1. Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan.

2. Sumber nafkah hendaklah diperolehi daripada sumber yang halal dan diharuskan hukum syarak.

3. Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri juga perniagaan yang halal.

4. Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan tersebut termasuk yang menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, bertukang, operator juga yang menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru, pegawai tadbir dan yang lain-lain.

________________________________________________________

Selasa| 28 Syawal 1445H| 07 Mei 2024|.#084

Muslim Yang Menyelamatkan

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya". (Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2. Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, menfitnah dan lain-lain adalah dituntut.

3. Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina dan lain-lain adalah dilarang.

4. Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah di media elektronik dan diviralkan seperti TikTok, FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab dihadapan Allah.

________________________________________________________

Isnin| 27 Syawal 1445H| 06 Mei 2024| #083

Awal Pagi Waktu Barakah

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ صَخْرُ بْنُ وَدَاعَةَ

Daripada Shakhr Al Ghamidi, dari Nabi SAW, baginda mengucapkan: "ALLAAHUMMA BAARIK LI UMMATII FII BUKUURIHAA (Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka). Dan baginda apabila mengirim expedisi atau pasukan baginda mengirim mereka di awal siang (awal pagi). Dan Shakhr adalah seorang pedagang dan ia mengirim perdagangannya di awal siang, maka hartanya bertambah banyak. Abu Daud berkata; ia adalah Shakhr bin Wada'ah. (Sunan Abu Daud No: 2239) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Awal pagi adalah waktu yang banyak keberkatan dari Allah.

2.  Rasulullah mendoakan umatnya keberkatan pada setiap waktu pagi.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

(Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka)

3.  Perkataan bukur (بُكُور ) bermaksud awal pagi sehingga terbitnya matahari. Syeikh Abu Usamah Salim dalam syarah Riyad as-Salihin menyatakan: waktu yang terbaik dan berkat. Menghidupkan waktu pagi merupakan sunah Nabi SAW dan amalan orang yang berjaya.

4.  Hadis ini menunjukkan bahawa waktu awal pagi adalah waktu penting untuk melaksanakan kerja-kerja penting dan utama. Elakkan waktu awal pagi dengan kerja yang kurang manfaatnya seperti tidur selepas subuh.

________________________________________________________

Jumaat| 24 Syawal 1445H| 03 Mei 2024 | #082

Berakhlak Dalam Pertuturan

Berakhlak Dalam Pertuturan

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu mati dan laknat! Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun menyukai kesantunan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(Sahih Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2. Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kesantunan dalam semua perkara.

3. Rasulullah SAW menegur perbuatan Aisyah RA yang membalas ucapan Yahudi yang memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan Assam ‘alaikum yang membawa maksud buruk iaitu “Mati ke atas kamu”. Aisyah membalas dengan Alaikum sam wa laknatu membawa maksud “Ke atas kamu mati dan laknat!”

________________________________________________________

Khamis| 23 Syawal 1445H| 02 Mei 2024 | #081

Jangan Saling Bermusuh

 

Jangan Saling Bermusuh

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, jangan saling bermusuhan, jangan saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" (Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

2. Sifat iri hati dan cemburu kepada kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

3. Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

________________________________________________________

Rabu| 22 Syawal 1445H| 01 Mei 2024 | #080

Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2. Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3. Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) termasuk segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

----------------------------------------------------------------------------------

Koleksi siri "Jom TADABBUR 5 HADIS seminggu" ini telah diterbitkan oleh:

Seksyen Dakwah dan Pembangunan Insan
Pusat Islam Universiti
Universiti Putra Malaysia

 

◾ Ayuh menyumbang untuk pembangunan dan pengimarahan Masjid UPM menerusi pautan https://pic.upm.edu.my/derma_khairat/pengimarahan_dan_pembangunan_masjid_upm-15012

----------------------------------------------------------------------------

Updated:: 24/06/2024 [asmunir]

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
W, (01:28:56pm-01:33:56pm, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]