Berhutang merupakan satu bentuk muamalat yang disediakan oleh syariat Islam kepada penganutnya bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Panduan telah diletakkan oleh para ulamak kepada penghutang dan pemiutang supaya kemudahan yang diberikan oleh Islam ini tidak disalahgunakan.
Islam menganggap hutang merupakan suatu amalan yang dibenarkan ketika wujud keperluan dan kepentingan. Namun Islam tidak menggalakkan berhutang jika bertujuan untuk hidup bersenang-lenang dan bermewah-mewah.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhi daripada bebanan hutang dengan sabdanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh A’isyah Radhiallahu Anha:
“Ya Allah!, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang”, lalu bertanya seseorang kepadanya; “Alangkah banyaknya doa engkau meminta jauh dari hutang?”, maka baginda menjawab; “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mungkiri.”
(Riwayat al-Bukhari).
Doa Rasulullah tersebut menunjukkan bahawa berhutang merupakan amalan yang kurang sihat jika tidak diuruskan dengan sebaiknya kerana boleh menyebabkan seseorang yang berhutang itu bercakap bohong ketika berbicara dan memungkiri janji apabila berjanji. Justeru, kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha menjauhinya dengan sedaya mungkin.