oleh : Zuhaimi Abd Rahim
Pengarah Pusat Islam
Universiti Putra Malaysia
Orang lelaki pun tak terkecuali perlu segera qada puasa
Tuntutan satu daripada 5 Rukun Islam wajib dilaksana setiap umat Islam memenuhi syarat
Takwim Hijrah berdasarkan pergerakan bulan menyebabkan pelaksanaan ibadat dalam Islam perlu ditunaikan pada bulan tertentu memberi hikmah besar kepada umatnya.
Ini kerana ia menyebabkan ibadat seperti puasa dilaksanakan dalam musim berbeza setiap tahun,sekali gus umat Islam berpeluang merasai cabaran dan suasana berbeza.
Umat Islam di negara empat musim misalnya dapat berpuasa dalam cuaca sejuk yang lebih pendek siangnya atau dalam cuaca panas panjang siangnya, sekali gus mengajarkan kesabaran serta keinsafan dalam pelbagai keadaan.
Malah, masyarakat Muslim di negara ini berpuasa ketika musim kemarau yang menguji kesabaran tetapi pada bahagian lain dalam kehidupan mereka, akan berpuasa pada musim tengkujuh yang sejuk.
Bagaimanapun, hal ini juga boleh melekakan individu yang perlu melaksanakan qada puasa kerana meninggalkannya ketika Ramadan lalu atas keuzuran dibenarkan syarak atau mungkin disebabkan kelalaian atau kemalasan.Sikap suka menangguhkan ibadah ini juga menjadi punca utama. Ramai lelaki beranggapan mereka mempunyai banyak masa untuk mengganti puasa sebelum Ramadan seterusnya"
Ini kerana sedar tidak sedar, umat Islam akan berpuasa pada Ramadan yang jatuh dalam Februari dan Mac, sekali gus menjadikan tinggal sekitar dua bulan untuk menggantikan puasa mereka.
Hakikatnya, puasa adalah salah satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam memenuhi syarat.
Namun, sebahagian golongan lelaki Muslim seakan akan memandang ringan kewajipan menggantikan puasa ditinggalkan.
Mengapakah hal ini berlaku dan bagaimana kita boleh memastikan golongan lelaki lebih bertanggungjawab dalam melunaskan hutang puasa mereka?
Menurut Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuhaimi Abdul Rahim, ramai lelaki beranggapan mereka biasanya berpuasa penuh kerana tidak terikat dengan keuzuran seperti haid, nifas atau kehamilan yang sering menjadi sebab wanita berhutang puasa.
Bagaimanapun, lelaki juga ada meninggalkan puasa atas sebab tertentu seperti sakit atau bermusafir, tetapi tanggungjawab menggantikannya kurang diberi perhatian.
Apatah lagi masyarakat umumnya lebih cenderung mengingatkan wanita terhadap keperluan menggantikan puasa, sementara lelaki jarang diberikan penekanan hingga ada sebahagian lelaki memandang ringan kewajipan mengganti puasa tertinggal.
Selain itu, sikap suka menangguhkan ibadah ini juga menjadi punca utama. Ramai lelaki beranggapan mereka mempunyai banyak masa untuk mengganti puasa sebelum Ramadan seterusnya. Akibatnya, mereka lupa atau tidak sempat melaksanakan puasa ganti dalam tempoh yang ditetapkan.
Sebilangan lelaki juga tidak memberi keutamaan kepada ibadah ini kerana tidak melihatnya sebagai kewajipan yang sama pentingnya seperti solat atau zakat. Sikap ini mungkin berpunca daripada kurangnya ilmu agama dan rasa tanggungjawab terhadap ibadah.
LELAKI JARANG MENERIMA GALAKAN
Lebih membimbangkan lagi, lelaki jarang menerima galakan atau pemantauan daripada ibu bapa, pasangan atau rakan untuk menggantikan puasa. Tanpa dorongan daripada orang terdekat, mereka mungkin terlupa atau tidak merasa keperluan untuk melaksanakan ibadah ini.
Bagaimanakah kita boleh memastikan golongan lelaki lebih bertanggungjawab dalam hal ini?
Pendidikan agama adalah asas penting untuk menyedarkan mereka terhadap kewajipan menggantikan puasa. Firman Allah SWT (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia) menggantikan puasa sebanyak (hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain." (Al-Baqarah:184)
Ayat ini jelas menunjukkan puasa ditinggalkan perlu digantikan dan ia adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan oleh sesiapa. Selain itu, rakan, pasangan, dan ahli keluarga juga boleh memainkan peranan penting dengan mengingatkan lelaki secara baik tentang hutang puasa mereka. Galakan dan sokongan yang diberikan dengan sopan mampu menanamkan rasa tanggungjawab tanpa memberi tekanan.
Justeru, lelaki perlu digalakkan untuk menjadualkan penggantian puasa secepat mungkin selepas Ramadan juga boleh membantu mereka melunaskan hutang ini tanpa menangguh.
Penjadualan yang teratur dapat memastikan mereka tidak terlupa atau kesuntukan masa menjelang Ramadan seterusnya.
Di samping itu, kefahaman mengenai dosa meninggalkan kewajipan mengganti puasa tanpa sebab yang munasabah perlu ditingkatkan. Firman Allah SWT: "Dan sesiapa yang tidak melaksanakan kewajipan terhadap Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (An-Nisa': 87)
Kesedaran bahawa meninggalkan kewajipan ini adalah dosa besar akan mendorong lelaki lebih berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Menggantikan puasa yang tertinggal bukan sekadar kewajipan agama, tetapi juga cerminan tanggungjawab seorang hamba kepada Tuhannya. Ramadan semakin hampir, dan ini adalah masa terbaik untuk memastikan hutang puasa kita telah dilunaskan.
Dengan ini, kita dapat menyambut bulan suci dengan hati yang tenang dan bersedia.
Date of Input: 24/12/2024 | Updated: 24/12/2024 | asmunir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum