Ramadan 'pulih' Jiwa Muslim, Puasa Bukan Rutin Tahunan | UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
» ARTICLE » Ramadan 'pulih' jiwa Muslim, puasa bukan rutin tahunan

Ramadan 'pulih' jiwa Muslim, puasa bukan rutin tahunan

Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia

Oleh Zuhaimi Abdul Rahim

Ramadan kembali tahun ini dan lazimnya, Muslim akan dikaitkan dengan kewajipan ibadah puasa, melaksana- kan solat sunat tarawih dan zakat.

Berpuasa pada Ramadan sering kali difahami Muslim sebagai salah satu ibadah hanya sekadar menahan diri daripada rasa lapar dan dahaga bermula terbitnya fajar sehingga terbenam matahari.

Namun, hakikat sebenar puasa adalah ibadah diperintahkan Allah SWT mempunyai pelbagai keistimewaan dan hikmah mendalam kepada semua umat Islam melaksanakannya.

Antaranya, puasa bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi satu bentuk latihan bagi membentuk rohani seseorang individu sekali gus menyucikan jiwa dan juga hati.

Dalam Islam, puasa adalah satu medan dapat membantu Muslim mengawal hawa nafsu daripada melakukan sesuatu dilarang Allah SWT, membantu meningkatkan ketakwaan diri sebagai insan bergelar hamba.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah, ayat 183) Antara hikmah Allah SWT sediakan apabila Muslim melaksanakan ibadah puasa adalah mendidik diri untuk mengawal nafsu dan emosi serta sifat negatif lain yang dapat memudaratkan diri.

Puasa mendidik orang beriman mengawal nafsu syahwat terutama nafsu makan dan seks dengan cara menahan diri daripada makan, minum, melakukan hubungan seksual serta perkara membatalkan puasa pada siang hari dengan niat tulus kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Puasa itu adalah perisai, maka apabila seseorang sedang berpuasa, jangan dia berkata keji dan jangan bertindak dengan kejahilan. Jika seseorang memerangi- nya atau mencelanya, maka hen- daklah dia berkata, ”Sesungguhnya aku sedang berpuasa." (HR Bukhari & Muslim)

Hadis ini dengan jelas menyatakan ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar, tetapi melatih diri menjaga lidah daripada berkata kesat.

Ia mendidik Muslim bertindak mengikut emosi dapat menjerumuskan diri sendiri dalam keadaan tidak menguntungkan diri serta melukai orang sekeliling dan ia juga untuk mencegah diri daripada melakukan sesuatu perkara dilarang agama.

Dalam keadaan biasa, seseorang individu mungkin akan lebih mudah melepaskan amarah dan bertindak balas dengan provokasi orang lain.

Namun dengan berpuasa, individu itu dilatih menjadi seseorang lebih bersabar dan menjaga lidahnya daripada berkata-kata perkara tidak baik.

 

Puasa dekatkan diri kepada Allah 

Ramadan adalah bulan umat Islam sepatutnya berlumba-lumba mengerjakan ibadah dan amal kebajikan. Antara sebab berpuasa diwajibkan kepada Muslim pada Ramadan adalah untuk mendekat kan diri kepada Allah SWT.

la perlu disertakan dengan ibadah lain seperti menunaikan ibadah sunat seperti solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan berzikir.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan keampunan, berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, akan diampuni segala dosanya yang lalu". (HR Bukhari & Muslim)

Bermakna, dengan berpuasa, ia dapat membantu seseorang bermuhasabah diri, memperbaiki ibadah dan diri untuk menjadi lebih baik serta kembali kepada Allah SWT dengan penuh penyesalan terhadap dosa lalu dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Selain itu, puasa juga menyediakan peluang kepada Muslim memperbanyakkan berdoa kerana doa orang berpuasa adalah mustajab seperti disebut dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Tiga doa tidak akan ditolak iaitu doa orang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin adil dan doa orang tera- niaya". (HR Tirmizi)

Dengan berpuasa, ia dapat membantu seseorang bermuhasabah diri, memperbaiki ibadah dan diri untuk menjadi lebih baik serta kembali kepada Allah SWT dengan penuh penyesalan terhadap dosa lalu dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi"

 

Kesan positif kesihatan mental 

Dalam aspek rohani, malah ia juga mempunyai keistimewaan dalam aspek kesihatan fizikal dan men- tal. Kajian sains membuktikan puasa dapat membantu menstabilkan kadar gula dalam darah dan meningkatkan sensitiviti insulin, menggalakkan pembakaran lemak terkumpul dalam badan dan menurunkan berat badan secara sihat.

Di samping itu, dengan berpuasa juga, manusia akan peroleh kesan positif terhadap kesiha- tan mental kerana menahan diri daripada lapar dan minum serta perkara melalaikan, seseorang itu akan lebih mudah fokus melakukan sesuatu perkara terutama ibadah.

Kebaikan lain yang akan diperoleh dengan berpuasa adalah membantu manusia mengawal keinginan, mengurangkan tekanan, meningkatkan kesabaran dalam diri serta ketahanan mental.

Hikmah lain diperoleh apabila seseorang berpuasa adalah tertanam sifat empati dalam diri mereka terhadap golongan kurang bernasib baik terutama fakir dan miskin.

Rasa ini hadir apabila mereka sendiri merasakan ujian apabila terlalu dahaga dan lapar, namun tidak mempunyai kemampuan untuk membeli makanan.

Hal ini akan mendorong seseorang menjadi hamba lebih bersyukur, sederhana dalam sesuatu perkara dan lebih banyak bersedekah kepada golongan memerlukan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadan". (HR Tirmizi) Selain daripada mendorong seseorang lebih banyak bersedekah, puasa juga membantu Muslim menghapuskan sifat angkuh, kedekut dan sombong dalam diri seseorang.

Di sini, dapat dilihat dengan jelas puasa bukan sekadar menahan diri. daripada rasa lapar dan dahaga, tetapi latihan menyeluruh yang Allah SWT sediakan kepada semua hamba-Nya membabitkan pelbagai aspek iaitu fizikal, mental dan spiritual.

Puasa juga ibadah sangat dicintai Allah SWT dan akan memperoleh ganjaran besar di akhirat kelak. Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus meluangkan masa menyelami dan menghayati makna sebenar puasa, bukan sekadar menjadikan ia ibadah sebagai rutin tahunan. Malah kita menjadikannya sebagai satu proses meningkatkan kualiti sebagai seorang hamba bersungguh-sungguh mencari reda Allah SWT.

Date of Input: 03/03/2025 | Updated: 03/03/2025 | asmunir

MEDIA SHARING

UNIVERSITY ISLAMIC CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698588
0397693640
W, (11:49:04pm-11:54:04pm, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]