Santuni Rejab, Syaaban persiapkandiri rebut keberkatan Ramadan
Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
Oleh Zuhaimi Abdul Rahim
Dalam kitaran setahun, kita sebagai umat Islam harus bersyukur kerana diberikan keistimewaan dan peluang untuk bermuhasabah dan memperbaiki hubungan dengan Pencipta yang Maha Esa melalui bulan di dalamnya, terkandung pelbagai manfaat, keistimewaan dan kelebihan iaitu Rejab, Syaaban dan juga Ramadan.
Bulan istimewa ini bukan sekadar mempunyai kedudukan tinggi dalam kalendar Islam, tetapi peluang untuk kita bersedia dari aspek rohani dan jasmani bagi menuju kemuncak keberkatan dalam beramal iaitu menyambut Ramadan.
Namun kini, kita sering lalai dan terperangkap dengan kehidupan duniawi sehingga tidak menyantuni Rejab dan Syaaban dengan sebaiknya. Umat Islam sering lupa dua bulan ini juga bulan terbaik untuk melatih diri menyambut kedatangan Ramadan setiap setahun.

Jika kita melewati bulan ini tanpa persediaan sebaiknya, berkemungkinan besar kita kehilangan peluang diberi Allah bagi mencapai tahap takwa tinggi.
Rejab adalah satu daripada empat bulan haram dimuliakan Allah SWT dan didalamnya terkandung pelbagai keistimewaan. Bulan ini disebut sebagai bulan haram kerana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman, sebaliknya menggalakkan hamba-Nya memperbanyakkan amal soleh dan menjaga keharmonian sesama manusia.
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan (ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka jangan kamu menganiaya diri kamu pada bulan itu, dan perangilah kaum Musyrikin semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya dan ketahuilah Allah berserta orang bertakwa".
Keistimewaan bulan ini perlu digunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan amal soleh seperti taubat nasuha, beristighfar dan melakukan amal kebaikan kepada diri sendiri serta orang sekeliling.
Rejab juga bulan untuk umat Islam berlatih semula memperbanyakkan amalan sunat seperti puasa, sedekah dan solat sunat. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Sesiapa berpuasa satu hari pada bulan haram, maka Allah akan menjauhkan dirinya daripada neraka sejauh perjalanan 100 tahun". (HR Ibnu Majah).
Pada bulan ini juga umat Islam diingatkan peristiwa Israk dan Mikraj penuh hikmah iaitu perjalanan luar biasa Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis dan seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam tempoh satu malam.
Peristiwa berlaku pada 27 Rejab ini sarat dengan pengajaran dan hikmah boleh diambil. Jika umat Islam menghayati peristiwa ini dengan sebaiknya, kita dapat mentarbiah hati dan diri untuk lebih cinta Nabi Muhammad SAW atas segala pengorbanan Baginda dan menjadikan kita hamba lebih taat dengan Allah SWT.
Sementara itu, Syaaban pula adalah anugerah dan hadiah diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya kerana ia bulan 'memanaskan badan' sebelum memasuki Ramadan, bulan menuntut persediaan lengkap bukan sahaja dari aspek fizikal, malah spiritual juga.
Syaaban mempunyai satu malam amat Istimewa dinamakan sebagai Nisfu Syaaban. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerhatikan makhluknya pada malam nisfu Syaaban, lalu Dia mengampuni semua makhlukNya kecuali orang musyrik dan orang bermusuhan(HR Ibnu Majah,Ahmad dan Baihaqi).
"Umat Islam harus memanfaatkan sepenuhnya anugerah istimewa diberikan Allah SWT iaitu dengan kehadiran Rejab, Syaaban dan Ramadan kerana ketiga-tiga bulan ini terkandung di dalamnya pelbagai keistimewaan, rahsia dan peluang menjadikan diri kita hamba lebih baik daripada sebelumnya."
Malam Nisfu Syaaban ini dikenali sebagai malam penuh keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Antara amalan boleh diamalkan menghidupkan Nisfu Syaaban adalah solat sunat, membaca surah Yasin, memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar.
Namun, ia tradisi turun-temurun dan bukan tuntutan sehingga dianggap bidah. Yang paling penting, kita harus melakukan semua amalan niat dengan hati ikhlas semata-mata kerana Allah SWT bagi mendapatkan keredaan-Nya, bukan sekadar mengikut tradisi.
Terdapat juga satu hadis sahih kepentingan Syaaban sebagai persediaan bagi kita menyambut Ramadan yang mana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Ketika ditanya puasa Syaaban, Rasulullah SAW menjawab Syaaban adalah bulan ramai manusia lalai, iaitu antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan amalan diangkat kepada Allah, Tuhan semesta alam dan aku suka amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa". (HR Nasai dan Abu Daud)
Bulan penuh rahmat
Ramadan pula dikenali sebagai bulan penuh rahmat, keampunan daripada Allah SWT dan bulan pembebasan daripada api neraka. Kedatangan bulan penuh rahmat ini amat ditunggu-tunggu sekalian umat Islam. Ramadan hadir sebagai peluang keemasan kepada umat Islam menjadi hamba lebih baik. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: "Wahai orang beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa".
Keistimewaan Ramadan sangat luar biasa yang mana umat Islam berpeluang melaksanakan ibadah dan amalan dituntut seperti solat Tarawih berpuasa wajib sebulan, tadarus al-Quran, bersedekah dan menunaikan zakat. Pada Ramadan juga terselit satu malam lebih mulia daripada 1,000 bulan iaitu 'Lailatul Qadar' yang semua umat Islam berlumba-lumba untuk mendapatkannya.
Lailatul Qadar adalah hadiah Allah SWT kepada hamba-Nya yang bertakwa dan ikhlas beribadah kepada-Nya. Firman Allah SWT pada Surah al-Qadr ayat 1 hingga 3 bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan". Dengan hadirnya Ramadan, umat Islam berpeluang melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dengan lebih khusyuk, membersihkan jiwa dan melatih diri lebih sabar serta berdisiplin melalui ibadah puasa.
Umat Islam patut menjadikan Ramadan sebagaiplatform memperbaiki diri serta persiapan menuju kehidupan lebih baik, tidak hanya di dunia tetapi juga di akhirat.
Justeru, umat Islam harus memanfaatkan sepenuhnya anugerah istimewa diberikan Allah SWT iaitu dengan kehadiran Rejab, Syaaban dan Ramadan kerana ketiga-tiga bulan ini terkandung di dalamnya pelbagai keistimewaan, rahsia dan peluang menjadikan diri kita hamba lebih baik daripada sebelumnya.
Umat Islam perlu sedar keberkatan bulan istimewa ini tidak akan memberikan makna apa-apa tidak membuat persiapan sepatutnya. Sikap lalai dan tangguh dalam diri tidak dikawal mungkin menyebabkan kita kehilangan peluang besar meraih rahmat Allah SWT pada tiga bulan istimewa ini.
Semoga usaha diambil pada Rejab dan Syaabanakan membawa kita kepada kejayaan besar pada Ramadan iaitu keluar daripada bulan ini dengan hati suci, jiwa tenang dan amalan diterima Allah SWT.
Date of Input: 26/12/2024 | Updated: 26/12/2024 | asmunir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum