
SERDANG, 30 Jun – Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Seminar Keibubapaan: Membina Generasi Soleh Wa Musleh bertempat di Dewan Al-Khawarizmi, Pusat Islam UPM, sebagai usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan serta meningkatkan kesedaran mengenai peranan ibu bapa dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan berteraskan nilai-nilai Islam.
Seminar yang berlangsung selama sehari itu menghimpunkan lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada warga UPM dan masyarakat sekitar bagi mengikuti perkongsian ilmiah daripada barisan panel yang berpengalaman dalam bidang kekeluargaan, pendidikan dan dakwah.
Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, berkata penganjuran seminar ini merupakan salah satu komitmen berterusan Pusat Islam UPM dalam memperkasakan pembangunan institusi keluarga sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera dan berdaya saing.
"Keluarga merupakan madrasah pertama dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai jati diri, akhlak mulia dan pegangan agama yang kukuh. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan agar mampu mendepani cabaran mendidik anak-anak pada era digital masa kini," katanya.
Sesi pertama seminar telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ts. Mohd Nor Mamat, Pensyarah Jabatan Akademik dan Antarabangsa, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi tajuk "Terapi Cinta Suami dan Isteri". Beliau menekankan bahawa hubungan suami isteri yang dibina atas dasar kasih sayang, saling menghormati dan komunikasi yang baik menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang harmoni serta mampu melahirkan anak-anak yang seimbang dari aspek rohani dan emosi.

Sesi berikutnya diteruskan oleh Ustazah Nurol Kausar Musa, Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Perundangan Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat dengan tajuk "Tanggungjawab dan Komunikasi Ibu Bapa". Dalam pembentangannya, beliau menegaskan bahawa komunikasi yang berkesan, kasih sayang serta pelaksanaan tanggungjawab ibu bapa secara menyeluruh merupakan elemen penting dalam membentuk sahsiah dan kesejahteraan anak-anak.

Pada sebelah petang, seminar diteruskan dengan ceramah oleh Ustazah Dr. Fatimah Syarha binti Noordin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), bertajuk "Dari Hati Anak: Dunia Mereka, Amanah Kita". Beliau mengupas kepentingan memahami dunia dan perkembangan emosi anak-anak serta menyeru ibu bapa agar mendidik dengan pendekatan kasih sayang, hikmah dan tarbiah berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
Selain sesi pembentangan, seminar turut memberi ruang kepada peserta berinteraksi secara langsung bersama panel melalui sesi soal jawab yang membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan kekeluargaan, komunikasi dalam rumah tangga dan cabaran mendidik anak-anak dalam era teknologi digital.
Penganjuran seminar ini diharap dapat menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman kepada para peserta dalam memperkukuhkan institusi keluarga serta melahirkan generasi soleh wa musleh yang memiliki keunggulan ilmu, akhlak dan kepimpinan demi kesejahteraan ummah dan negara.
Date of Input: 01/07/2026 | Updated: 18/08/2026 | asmunir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum