Serdang, 4 Mac – Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi menganjurkan program memasak dan mengedarkan bubur lambuk sempena bulan Ramadan. Program ini diadakan setiap hari Selasa dan Khamis sepanjang bulan Ramadan dengan kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM serta komuniti kariah Masjid UPM.
Antara PTJ yang turut serta dalam menjayakan program ini ialah UPM Holding, Pusat Jaminan Kualiti UPM, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, UCTC UPM, Putra Science Park UPM, PERMATA UPM, serta Kelab Kebajikan & Rekreasi iDEC. Penyertaan pelbagai pihak ini mencerminkan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam menyemarakkan ibadah di bulan yang penuh keberkatan ini.
Proses memasak bubur lambuk bermula pada sebelah pagi dengan kerjasama sukarelawan dari kalangan staf dan pelajar UPM serta ahli kariah Masjid UPM. Bubur lambuk yang siap dimasak akan diedarkan kepada warga UPM dan jemaah Masjid UPM bermula jam 4:00 petang.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan amalan bersedekah dalam kalangan warga kampus, tetapi juga mengeratkan ukhuwah serta membudayakan amalan bergotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Pusat Islam UPM mengalu-alukan penyertaan lebih ramai sukarelawan dalam program ini dan berharap ia dapat menjadi salah satu inisiatif yang diteruskan pada masa akan datang.
Date of Input: 05/03/2025 |
Updated: 05/03/2025 | asmunir
MEDIA SHARING