
Serdang, 5 November 2025 — Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Integriti melalui Penghayatan Solat Sempurna bertempat di Al-Biruni Smart Space, Masjid UPM. Program sehari ini dikendalikan oleh kumpulan Geng Ngaji Global dan melibatkan penyertaan seramai 24 orang staf dari Pusat Islam.
Program ini bertujuan memperkukuh integriti warga kerja melalui penghayatan ibadah solat yang sempurna, selaras dengan nilai-nilai murni dan etika kerja Islam. Ia juga menjadi platform untuk mempertingkatkan kefahaman dan amalan solat dalam kalangan staf agar lebih khusyuk dan tepat dari segi rukun serta syarat sahnya.


Program ini merangkumi tiga slot utama yang disampaikan oleh penceramah jemputan:
Slot 1: Konsep Solat Sempurna — Menjelaskan asas dan falsafah solat yang sempurna dari sudut rohani dan jasmani.
Slot 2: Wuduk Sempurna — Menekankan kepentingan penyucian diri sebagai persediaan utama sebelum solat.
Slot 3: Praktikal Rukun Solat — Latihan amali meliputi Takbiratulihram, Berdiri, Rukuk, I’tidal, Sujud, Duduk antara dua sujud, dan Duduk Tahiyat.
Turut hadir memeriahkan dan menyokong program ini ialah Pengarah Pusat Islam UPM, Encik Zuhaimi Abd Rahim, yang menzahirkan komitmen institusi dalam memperkasa amalan integriti melalui pendekatan spiritual dan ibadah.
Program ini diharap dapat menjadi pencetus kepada budaya kerja berintegriti tinggi yang berlandaskan nilai Islam, serta memperkukuh hubungan spiritual dalam kalangan warga UPM.
Date of Input: 05/11/2025 | Updated: 05/11/2025 | asmunir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.
Buka - Isnin-Jumaat
Tutup - Sabtu, Ahad dan Cuti Umum